PATI bayar kad pengenalan palsu serendah RM200? Awas! Kerajaan akan kekang habis-habisan
Hasimi Muhamad
Jun 12, 2020 16:02 MYT
Jun 12, 2020 16:02 MYT
Tindakan pendatang tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi negara ini dengan menggunakan kad pengenalan palsu tidak akan terlepas, demikian amaran Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, hari ini.
Tegas Ismail Sabri, apa-apa cara yang dilakukan oleh PATI untuk 'menghalalkan' kemasukan mereka ke negara ini secara tidak sah akan dibanteras habis-habisan.
“Sebab itu Ops Benteng kita terus lakukan dan antara yang kita periksa adalah pengenalan diri mereka. Ini untuk memastikan kita mendapat tahu status kedudukan mereka itu sama ada mereka masuk secara halal atau pun tidak, dan kalau ada mereka terbukti menggunakan kad pengenalan haram ini, tentu saja tindakan diambil oleh pihak kerajaan.
“Saya percaya pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen akan terus melakukan tindakan bagi memastikan supaya warga asing yang tidak berdokumen dan mempunyai pengenalan-pengenalan palsu akan diambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa PATI mendapatkan dokumen palsu untuk membolosi negara ini dengan bayaran antara RM200 hingga RM300.
Terdahulu, dalam sidang media sama Ismail Sabri memaklumkan seramai 1,517 PATI telah ditahan di bawah operasi bersepadu itu atas pelbagai kesalahan imigresen, setakat semalam.
#coronavirus
#COVID-19
#haram
#Imigresen
#Kementerian Dalam Negeri
#kerajaan
#keselamatan
#operasi
#pati
#warga asing