Patah tangan dan kaki angkara anjing

Sinar Harian
Ogos 22, 2024 10:00 MYT
Mohd Ridzuan terbaring di jalan raya selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Gara-gara tidak sempat mengelak seekor anjing melintas secara tiba-tiba, seorang lelaki patah tangan kiri dan kaki kanan selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang di Taman Bandar Senawang di sini.
Kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu berlaku ketika Mohd Ridzuan Zainudin dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari tempat kerja.
Menurutnya, insiden terbabit berlaku secara mengejut yang menyebabkan dia tercampak dari motosikal.
"Anjing itu dari tepi jalan tiba-tiba saja melompat ke tengah jalan dan saya tak sempat nak brek menyebabkan saya tercampak dari motosikal.
"Saya kemudian cuba untuk bangun, tapi tak boleh dan ketika itu saya dah jangka kaki saya patah," katanya dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ujarnya, dia kemudian menghubungi rakan dan isterinya memaklumkan kejadian malang berkenaan sebelum mereka datang ke lokasi.
Tambahnya, dia telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini oleh ambulans untuk rawatan lanjut dan telah mengalami patah kaki kanan dan tangan kiri.
"Saya dah buat pembedahan bagi memasukkan besi. Tak tahulah bila saya akan dibenarkan keluar dari hospital, tapi telah diberitahu oleh doktor ambil masa untuk pulih.
"Saya bersyukur kerana selamat dan ini kali pertama saya terlibat dalam insiden membabitkan anjing liar," katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa tempatan dapat bertindak lebih agresif menangkap anjing-anjing liar di kawasan terbabit.
Ini kerana katanya, ada yang mungkin boleh bertindak agresif sehingga membahayakan orang ramai.
"Lagi pun saya tengok anjing liar berkeliaran di kawasan itu agak banyak dan rasanya di tempat-tempat lain turut berdepan masalah sama," katanya. - Sinar Harian
#anjing #Nahas #motosikal #patah tulang