PAT diumum Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara pertama

Bernama
Ogos 25, 2016 13:40 MYT
Nama Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin diumum TPM di New York. - Gambar fail
Kerajaan memandang serius ancaman terhadap pertahanan dan keselamatan negara dengan mengambil langkah serius melantik Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang pertama.
Mengumumkan perkara itu di sini Rabu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat agar tidak memandang remeh ancaman itu yang datang dari dalam dan luar negara.
"Atas kepedulian kerajaan terhadap ancaman kepada pertahanan dan keselamatan negara ini maka kerajaan telah menetapkan bahawa tugas memimpin MKN diserah kepada pegawai polis atau tentera," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Makan Malam Timbalan Perdana Menteri bersama pegawai dan kakitangan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di New York di pejabat perwakilan itu di sini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata anggota-anggota MKN juga akan dilantik dari kalangan pegawai polis dan tentera yang berpengalaman dalam setiap sudut pertahanan dan keselamatan negara.
Lazimnya, MKN diketuai oleh seorang setiausaha yang terdiri daripada pegawai sivil dan Zulkifeli menjadi pegawai tentera pertama yang dilantik ke jawatan itu.
Difahamkan pelantikan Zulkifeli berkuat kuasa 15 Ogos lepas.
#Ahmad Zahid Hamidi #Ketua Pengarah #Majlis Keselamatan Negara #MKN #PAT #Zulkifeli Mohd Zin
;