Pasukan udara Israel bedil Op Ihsan di Gaza, 7 warga Palestin maut
Astro Awani
Mac 15, 2024 16:15 MYT
Mac 15, 2024 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sekurang–kurangnya tujuh rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara terbaharu oleh Israel di kem pelarian Al-Nuseirat di Gaza.
Menurut pegawai kesihatan Palestin, kejadian berlaku ketika petugas ingin memulakan proses pengagihan makanan yang dihantar oleh Ops Ihsan, satu inisiatif penghantaran bantuan makanan dari Malaysia.
"Sekretariat Induk Ops Ihsan dengan tegas mengutuk dan mengecam sekerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini di saat rakyat Palestin sedang berusaha mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup," kata Pengerusinya, Jismi Johari dalam satu kenyataan hari ini.
Konflik Gaza yang sudah berlarutan selama lima bulan mengakibatkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk di Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal dan terpaksa berebut makanan.
Pada 29 Februari lalu, lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dan 750 cedera selepas tentera Zionis melancarkan serangan terhadap individu yang sedang cuba mendapatkan bantuan makanan di Dataran Nablsi di barat Gaza.