Pasukan robotik POLYCC raih 6 pingat di Jerman

Bernama
Julai 24, 2023 05:30 MYT
Pasukan Robotik POLYCC telah berada di Jerman sejak 17 Julai lepas dan pulang ke tanah air semalam. - Foto Facebook/Politeknik.kolejkomuniti
KUALA LUMPUR: Pasukan Robotik Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejohanan RoboWorld FIRA 2023 apabila berjaya memenangi enam pingat sekali gus melepasi sasaran awal lima pingat pada pertandingan itu di Jerman.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi, dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pasukan robotik POLYCC yang diwakili oleh enam peserta dari Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) meraih masing-masing dua pingat emas, perak dan gangsa.
Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Md Noor Shahudin, berkata penyertaan kali ini hanya melibatkan bilangan pelajar terkecil iaitu enam peserta dengan tiga daripadanya berada di Jerman manakala tiga lagi berada di Malaysia yang membantu secara dalam talian, berbanding penyertaan sebelum ini yang melibatkan 30 hingga 40 orang pelajar.
Tiga peserta yang berada di Jerman ialah dua pelajar dari PSIS iaitu pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Muhammad Zikry Iman Mohd Sohaimi dan pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer),Anwar Syahiddin Shamsul Anuar, serta pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dari PSAS, Muhammad Farhan Misron@Misni.
"Penyertaan pelajar yang amat sedikit pada kali ini berbanding dengan enam pingat yang dicapai adalah sesuatu yang luar biasa," katanya.
Md Noor berkata lokasi kejohanan yang agak jauh menjadi antara cabaran pasukan kerana memerlukan peruntukan tinggi yang menjadi faktor utama bilangan penyertaan POLYCC dihadkan pada kali ini, selain terdapat beberapa perubahan dalam peraturan pertandingan bagi kategori Androsot.
"Pasukan POLYCC bagi kategori ini perlu membuat penyesuaian sebelum menghantar pasukan bagi kejohanan akan datang dan tidak terlibat dengan kejohanan kali ini. Pasukan POLYCC masih memerlukan kelengkapan teknologi terkini untuk mampu bersaing dengan lebih baik," katanya.
Pasukan Robotik POLYCC telah berada di Jerman sejak 17 Julai lepas dan pulang ke tanah air semalam.
-- BERNAMA
#POLYCC #Kejohanan RoboWorld FIRA 2023 #prestasi cemerlang #Md Noor Shahudin
;