Pasukan Respon Pantas KKMM semak berita tular antara 30 minit hingga tiga jam - KSU
Bernama
April 15, 2020 04:51 MYT
April 15, 2020 04:51 MYT
Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil masa antara 30 minit hingga tiga jam bagi mengesahkan sebarang berita tular, sekali gus menangkis berita palsu daripada terus disebarkan.
Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad berkata kecekapan dan kepantasan pasukan itu menyemak kesahihan sesuatu berita dapat dicapai melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan.
"Paling lama masa yang diambil (untuk pengesahan berita) tiga jam sebab kita nak cepat menangkis balik penyebaran (berita palsu).
"Kita nak tangkis dakwaan tersebut dan kita banyak bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain di mana mereka memberi respons yang pantas, memberi maklumat yang terkini dan yang paling sahih," katanya di sini, pada Rabu.
Suriani berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Pasukan Respon Pantas KKMM - Perangi Berita Palsu".
Beliau berkata pihaknya turut memantau perkongsian berita yang tular dalam kalangan pengguna media sosial bagi menangkis berita palsu.
Suriani berkata ia dilaksanakan pasukan itu bagi membuat pengesahan kesahihan berita yang ditularkan dengan kadar cepat, bergantung kepada tahap keseriusannya.
Pasukan ini diketuai oleh seorang pegawai bahagian Komunikasi Strategik KKMM dan dianggotai staf-staf di bawah kementerian dan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai portal Sebenarnya.my yang diterajui KKMM, beliau berkata maklumat di portal tersebut sentiasa dikemas kini secara harian.
"Kadangkala kita ulang siar semula (maklumat) kerana kita lihat tahap seriusnya berita palsu tersebut dan kita pastikan bahawa ia kita ulang siar agar ia tidak lagi menjadi suatu yang dibincangkan," katanya.
Pasukan Respon Pantas KKMM ditubuhkan pada 16 Mac lepas, bertujuan menangkis berita palsu dan mengesahkan suatu berita terutama dalam situasi semasa banyak berita palsu yang disebarkan hingga menyebabkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA
#berita palsu
#kerjasama
#kesahihan berita
#KKMM
#Pasukan
#Pasukan Respon Pantas
#Penafian
#pengesahan berita
#penularan
#Sebenarnya my
#semak berita tular
#Semak Fakta
#Suriani Ahmad