Pasukan petugas pastikan pelaksanaan 5G, model dwirangkaian lancar
Bernama
Mei 9, 2023 18:34 MYT
Mei 9, 2023 18:34 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersetuju membentuk satu pasukan petugas bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Bhd (DNB) berjaya mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.
Menteri berkenaan Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini berkata penubuhan pasukan petugas itu juga untuk memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar pada awal 2024.
Beliau berkata pasukan petugas itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta diurussetiakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Katanya ia akan turut dianggotai pihak DNB dan pihak penyedia perkhidmatan antaranya CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, dan YTL Communications serta pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.
"Adalah menjadi matlamat utama pasukan petugas ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan," katanya.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
Menurutnya peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.
-- BERNAMA