Pasukan petugas khas ditubuhkan, pantau SOP aktiviti ekonomi Sarawak

Astro Awani
Mei 12, 2020 14:39 MYT
Aidi (gambar) berkata, pasukan petugas khas itu melibatkan lebih 3,000 anggota dari pelbagai agensi keselematan. - Foto Astro AWANI
Polis kontinjen Sarawak menubuhkan pasukan petugas khas yang berperanan membuat pemantauan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pasukan petugas khas itu melibatkan lebih 3,000 anggota dari pelbagai agensi keselematan.
"Kerajaan Sarawak di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengarahkan pihak polis untuk menyelaras pasukan-pasukan memantau sektor-sektor yang telah diluluskan untuk beroperasi sepanjang PKPB.
"Ia seperti sektor perkilangan, peruncitan dan pengangkutan. Kita yakin kerjasama antara agensi keselamatan dalam pasukan petugas khas ini mampu melancarkan PKPB di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Samarahan di antara DSP Lee Chog Chern dan ASP Rafhan Kepli.
Tambah Aidi, pergerakan rentas daerah masih lagi dikawal dan orang ramai perlu meemohon kebenaran daripada pihak polis.
Katanya lagi, hanya urusan kerja dan kecemasan sahaja yang dibenarkan untuk rentas daerah.
#COVID-19 #Datuk Aidi Ismail #pasukan petugas khas #petugas khas #PKPB #Polis Sarawak #rentas daerah #sektor ekonomi
;