Pasukan petugas khas bincang akses, kualiti internet, caj telco

Bernama
Mei 13, 2020 00:17 MYT
Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) berkata COVID-19 mengajar banyak perkara antaranya terdapat kawasan dengan keterhubungan internet masih perlahan atau kualitinya yang masih belum berada pada tahap terbaik. - Astro AWANI
Pasukan petugas khas mengenai Digital Malaysia, yang dipengerusikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), akan mengadakan perbincangan khusus mengenai akses dan kualiti internet serta caj yang dikenakan syarikat telekomunikasi susulan peningkatan penggunaan internet semasa pandemik COVID-19.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata COVID-19 mengajar banyak perkara antaranya terdapat kawasan dengan keterhubungan internet masih perlahan atau kualitinya yang masih belum berada pada tahap terbaik.
"Sebelum ini kita jangka, dan sekarang ini kita pasti memang ada kelemahan tertentu dan kita akan perbaiki," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Saifuddin berkata KKMM juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai usaha mengembangkan TV Pendidikan dan akiviti pembelajaran dalam talian.
"Pembelajaran dari rumah menjadi semakin mustahak, maka kita juga nampak di mana kelemahan yang ada," katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri dan Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia Boo Poh Suan yang turut mewakili syarikat e-dagang China, Alibaba Group mengenai usaha memperluaskan kerjasama dalam mengembangkan ekonomi digital negara.
Saifuddin berkata kerjasama itu bukan sahaja harus melihat kepada pasaran tempatan, tetapi juga memperluaskan aktiviti e-dagang ke rantau Asia Tenggara yang menjanjikan pasaran lebih luas.
"Kalau kita hanya melihat negara kita, ia hanya melibatkan penduduk kira-kira 32 juta, tetapi jika kita lihat rantau ini, ada 650 juta penduduk dan itu adalah satu pasaran yang sangat besar," katanya.
Sementara itu, MDEC dalam kenyataannya berkata Alibaba Group telah bersetuju Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) milik syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berfungsi sebagai satu daripada tiga hab global utamanya selain di Belgium dan Ethiopia untuk urusan penghantaran barangan perubatan bagi memerangi COVID-19.
"Pemilihan itu sekali gus akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab perdagangan utama di rantau ini membabitkan operasi logistik ketika masyarakat global meneruskan usaha melawan virus berkenaan," kata MDEC.
-- BERNAMA
#akses internet #caj telco #Kementerian Komunikasi dan Multimedia KKMM #kualiti internet #operasi #Saifuddin Abdullah
;