Pasukan pengaman Malaysia di DRC selamat - Wisma Putra

Bernama
Februari 5, 2025 10:20 MYT
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang bercadang untuk melakukan perjalanan ke DRC agar menangguhkan rancangan mereka sehingga situasi keselamatan kembali stabil. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pasukan pengaman Malaysia yang berkhidmat di bawah Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) berada dalam keadaan selamat, menurut Kementerian Luar Negeri.
Kementerian dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi situasi keselamatan di negara itu.
Kementerian turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia yang turut diakreditasi ke DRC, serta Kementerian Pertahanan bagi menilai keadaan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara terbabit.
"Rakyat Malaysia yang bercadang untuk melakukan perjalanan ke DRC dinasihatkan agar menangguhkan rancangan mereka sehingga situasi keselamatan kembali stabil," menurut kenyataan itu.
Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia menerusi telefon di (+264-61) 259 342 / (+264-61) 259 344 atau e-mel mwwindhoek@kln.gov.my.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan dan memberikan maklumat terkini apabila perlu.
Menurut laporan media antarabangsa, pengambilalihan oleh pemberontak M23 yang disokong Rwanda memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, dengan laporan menunjukkan lebih 2,000 mayat perlu dikebumikan dan sekurang-kurangnya 900 orang terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini.
-- BERNAMA
#pasukan pengaman #Congo #Wisma Putra #rakyat Malaysia #Kementerian Luar
;