Pasukan MALBATT 850-12 akan tingkat siap siaga, waspada di Lubnan

Bernama
Disember 12, 2024 20:45 MYT
Mohammad Ab Rahman menjawab pertanyaan pengamal media pada Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran Batalion Malaysia 850-11 di PUSASDA hari ini. - Gambar Bernama
PORT DICKSON: Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 akan meningkatkan kesiapsiagaan dan kewaspadaan menghadapi sebarang kemungkinan dalam melaksanakan misi (pengaman) dengan selamat di Lubnan.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata pertukaran kontinjen MALBATT 850-11 dengan MALBATT 850-12 dilaksanakan secara berperingkat melalui empat fasa penerbangan pada 6-20 Nov lepas.
Beliau berkata petukaran kontinjen MALBATT ini dirancang dengan teliti bagi memastikan operasi di kawasan misi dapat diteruskan secara berkesan, sambil mengekalkan kekuatan kuasa tempur kontinjen pada setiap masa.
"Saya menyeru seluruh rakyat dan keluarga anggota terus mendoakan pasukan pengaman dapat melaksanakan misi ini dengan selamat dan cemerlang dan dilindungi Allah SWT.
"Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, kontinjen MALBATT 850-11 mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang, meskipun berdepan pelbagai cabaran getir akibat ancaman konflik berterusan antara Israel dan Lubnan," beliau berkata kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran MALBATT 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 853 anggota dan pegawai termasuk dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai kewangan Kementerian Pertahanan menerima Penganugerahan Pingat PNBB diketuai Komander, Kolonel Burhan Sagoni.
Dalam pada itu Mohammad berkata kehadiran MALBATT 850-11 diterima baik masyarakat tempatan dan mencerminkan kejayaan kolaborasi antara pasukan pengaman dan komuniti setempat.
Beliau berkata kecekapan serta profesionalisme anggota kontinjen ini membuktikan keupayaan dan kemampuan ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa," katanya.
Mohammad berkata dalam situasi operasi yang mencabar, kontinjen MALBATT 850-11 berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman dihormati oleh masyarakat setempat dan dalam kalangan komuniti antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, Mohammad berkata pasukan MALBATT sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugas di negara bergolak seperti Syria, sekiranya diarahkan oleh PBB.
"Jika diarahkan (ke Syria) oleh PBB untuk menyertai misi tersebut, kepimpinan negara akan membuat pertimbangan. Sekiranya dipersetujui, anggota akan dihantar ke Syria atau mana-mana negara lain yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertahanan #MALBATT 850-11 #misi pengaman #komuniti antarabangsa
;