Pasukan Malaysia bersolat hajat mohon dipermudah masuki kawasan nahas

Bernama
Julai 21, 2014 11:17 MYT
Solat diketuai Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat
Pasukan siasatan khas Malaysia mengadakan solat hajat bagi memperoleh laluan mudah untuk memasuki kawasan pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine.
Solat diketuai Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat selepas berbuka puasa pada Ahad.
Pasukan itu yang terdiri daripada 130 anggota dari pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Kementerian Kesihatan, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia, pihak tentera dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tiba di Kiev pada Sabtu.
Sehingga hari ini, usaha mereka untuk memasuki kawasan nahas menerusi usaha rundingan antara kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia masih belum berhasil.
Tekanan antarabangsa semakin memuncak bagi mendesak puak pemberontak memberi laluan kepada pasukan siastan antarabangsa termasuk dari Malaysia untuk melakukan siasatan dan segera membawa keluar mayat penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) malang itu.
Pesawat Boeing 777 tersebut dalam pernerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.
Ia membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Media asing melaporkan pesawat telah ditembak namun sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine
;