Pasukan khas teliti isu ketirisan subsidi dinikmati warga asing

Muhafandi Muhamad
Julai 3, 2022 11:20 MYT
Mustapa (tengah) bertemu peniaga ketika melakukan tinjauan di Pasar Borong RTC Tunjung pagi tadi. -Astro AWANI
KOTA BHARU: Ketirisan subsidi yang dinikmati oleh warga asing antara isu yang akan diberikan perhatian oleh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran sehingga mendorong bekalan minyak masak di negeri sempadan tidak mencukupi perlu dipandang serius.
"Kita dapat laporan daripada media, jadi ini satu perkara yang saya bincang secara tidak rasmi dengan pelbagai pihak termasuk KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).
"Kita nak tahu keadaan sebenar bilangan mereka yang terlibat dalam repackaging, di mana dijual minyak ini, setakat mana tahap penyeludupan.
"Daripada laporan media, memang ada penyeludupan dan ada tangkapan dari semasa ke semasa, cuma kita nak tahu serius mana, sebab kita bayar subsidi tapi dinikmati orang asing.
"Ini tidak patut berlaku kerana kosnya sangat besar. Tapi kalau ada penyelewengan bawa keluar minyak, ini kita tidak dapat terima. Keadaan ini perlu disiasat dengan teliti," kata Mustapa.
Mustapa berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan termasuk jumlah pembekal dan pengeluar minyak masak di negeri yang bersempadan.
Soal ketirisan itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat mingguan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang bersidang esok.
Mustapa berkata demikian ketika melawat dan meninjau Pasar Borong RTC Tunjung pagi tadi.
Hasil tinjauan mendapati kebanyakan harga sayur stabil, walaupun berlaku sedikit turun naik harga.
#Mustapa Mohamed #Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi #KPDNHEP #subsidi dinikmati warga asing
;