Pasukan khas tangani tuntutan waris Sultan Sulu perlu teliti secara mendalam - ABIM
Rahimah Abdullah
Julai 16, 2022 13:40 MYT
Julai 16, 2022 13:40 MYT
KUALA LUMPUR : Pasukan khas bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Malaysia disaran meneliti secara mendalam berhubung tuntutan berkenaan.
Dalam masa sama, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia perlu memberi penjelasan kepada rakyat yang mahu tahu mengenai situasi sebenar isu berkenaan.
"Kita mahu penubuhan pasukan khas ini berperanan untuk dua perkara. Pertama, meneliti dengan mendalam isu berkaitan dengan tuntutan kerana kalau kita sebut pasal tuntutan ini, kita harus juga jangka kemungkinan besar mahkamah Perancis membatalkan tuntutan waris Sulu, ada kemungkinan tuntutan ini akan dibawa ke negara-negara lain, sebagaimana dibuat waris sebelum ini dari (tuntutan) mereka dari Sepanyol (dibawa) ke Perancis.
"Kedua, penerangan isu perlu dilakukan dengan baik sebab rakyat tertanya-tanya tentang kedudukan sebenar situasi yang berlaku," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
BACA: Petronas sahkan terima notis, susulan laporan aset di Azerbaijan dirampas waris Kesultanan Sulu
Selain itu katanya, Malaysia harus bergerak ke hadapan dan tidak saling menyalahkan mana-mana pihak dalam isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Malaysia.
Malah, ujar beliau, apa sahaja tindakan mana-mana kerajaan sebelum ini berlandaskan tafsiran undang-undang.
"Saya ambil contoh pertama, satu pihak salah kerajaan, ketika itu Kerajaan BN sebab tak terus buat bayaran kepada waris Sulu, mungkin atas tafsiran undang-undang selepas berlakunya pencerobohan ke atas Lahad Datu menyebabkan Kerajaan tak bayar.
"Namun adalah lebih wajar jika keputusan tidak membayar itu dibuat di Mahkamah Tinggi Sabah, biar mahkamah tentukan bahawa Perjanjian 1878 ini terbatal. Dari segi kewajiban bayar, saya fikir pada tahun 2019 (Kerajaan) menyambung semula bayaran atas dasar tertentu.
"Walau bagaimanapun, bagi kita isu yang harus dituntaskan ialah kedua-dua kerajaan bersetuju arbitrasi antarabangsa tidak mempunyai local standi untuk adili Perjanjian 1878," ujarnya lagi.