Pasukan khas polis siasat kes godam laman web
Astro Awani
Februari 19, 2013 19:13 MYT
Februari 19, 2013 19:13 MYT
Polis menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes godam laman web Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pada Isnin.
Ia ditubuhkan di bawah unit siasatan jenayah siber dan multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, tindakan dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan ia tidak berulang.
Siasatan dijalankan mengikut seksyen 5, Akta Jenayah Komputer 1997 itu melibatkan pelbagai aspek, termasuk berhubung alamat protokol internet yang merekodkan pengguna dari luar negara.
Pada Isnin, sistem aplikasi e-akhbar dan e-press milik jabatan itu digodam dengan penyiaran dua kenyataan bertajuk memo permohonan rakyat Malaysia dan Perdana Menteri secara rasminya meletak jawatan.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan semua jabatan dan kementerian meningkatkan tahap keselamatan laman web masing-masing untuk mengelak ancaman penggodam.
#Datuk Syed Ismail Syed Azizan
#godam laman web
#Jabatan Penerangan
#Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman