Pasukan khas ditubuh, kaji isu kahwin bawah umur - Rohani

Bernama
November 30, 2013 07:44 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengkaji isu perkahwinan bawah umur di negara ini, kata menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Katanya, pasukan khas di bawah Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak kementerian itu dipertanggungjawabkan untuk mengkaji kemungkinan mewajibkan penyediaan laporan kesihatan dan sosial sebelum permohonan untuk perkahwinan bawah umur ini dapat diluluskan.
"Kedua-dua laporan ini diyakini dapat membantu Mahkamah Syariah (untuk kes orang Islam) dan Mahkamah Anak Negeri (untuk kes orang bukan Islam) membuat pertimbangan yang sewajarnya," katanya dalam sidang media di Sebuyau, Sabtu.
Menurut Rohani, kementeriannya memandang serius kes perkahwinan bawah umur di negara ini memandangkan isu ini banyak mengundang perkara negatif.
"Remaja bawah umur 18 tahun mesti diberi perlindungan dan pembelaan sewajarnya kerana mereka merupakan golongan yang mudah diesksploitasi," katanya.
#KPWKK #Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak #perkahwinan bawah umur #Rohani Abdul Karim
;