Pasukan Khas Bebas KKM diberi masa dua bulan siasat kes buli, ahli diumum petang ini
Afiezy Azaman
Mei 13, 2022 09:50 MYT
Mei 13, 2022 09:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan khas bebas yang akan ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi masa dua bulan untuk menyiasat budaya kerja di hospital-hospital kerajaan dan isu buli serta membuat syor untuk memperbaiki budaya kerja.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ahli dalam pasukan khas bebas itu akan diumumkan pada petang ini.
"Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital-hospital KKM.
"Zaman dahulu dan zaman sekarang lain, persekitaran pekerjaan mesti ada rasa hormat, sokongan dan pemerkasaan.
"Bukan dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan memalukan," katanya di akaun Twitter, pada Jumaat.
Khairy turut melakukan tinjauan di Hospital Selayang untuk mendengar sendiri pengalaman doktor pelatih sebelum mereka memulakan tugasan jam 6 pagi tadi.
"Banyak perkara yang diluahkan kepada saya, ada jabatan yang mempunyai persekitaran pekerjaan yang bagus, dan ada pula yang boleh diperbaiki," ujarnya.
Sebelum ini, Khairy berkata, KKM akan menubuhkan satu pasukan khas bebas untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang.
Jelasnya, pasukan bebas itu juga akan menyiasat sekiranya berlaku budaya 'buli' seperti yang didakwa.
Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih di Pulau Pinang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari apartmen sewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa ialah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.