Pasukan keselamatan jejaki Datuk Seri Ridzwan Sulaiman

Arfa Yunus
Mac 31, 2013 18:06 MYT
Pasukan keselamatan negara di Sabah sedang menjejaki seorang lelaki yang digelar sebagai Datuk Seri Mohd Ridzwan Sulaiman bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu, Sabah.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, pihak berkuasa tidak mempunyai banyak maklumat mengenai lelaki terbabit dan berharap orang ramai dapat membantu pasukan keselamatan dalam menjejaki lelaki tersebut.
“Kami mendapat tahu bahawa Ridzwan Sulaiman ini berasal dari Pulau Pinang dan jawatannya yang terakhir dikenalpasti sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia. Selain daripada gambarnya, kami tidak mempunyai banyak maklumat berhubung lelaki ini.
“Kepada sesiapa yang mengenali lelaki ini, diharap supaya melaporkan kepada pihak berkuasa ataupun beliau sendiri menyerahkan diri di balai polis berhampiran,” kata Hamza.
Sementara itu, Hamza menyatakan bahawa tiada pertempuran yang berlaku pada hari ini.
“Setakat ini seramai 101 buah keluarga telah dipindahkan dari pusat pemindahan ke Kampung Tanjung Labian, 25 ke Kampung Tanjung Batu dan 54 keluarga ke Kampung Sungai Merah,” Hamza berkata pada sidang media di Lahad Datu hari ini.
Beliau menambah, operasi menggeledah masih di teruskan di Kampung Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani.
“Bagi statistik operasi, seramai 127 orang pengganas telah ditahan di bawah akta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 327 lagi di bawah akta-akta lain.
“Manakala jumlah mereka yang dituduh di mahkamah masih kekal seramai lapan orang,” kata beliau.
#Filipina #Lahad Datu #operasi #Ops Daulat #Sabah #Sulu
;