Pasukan 'duta online' KPKT tidak libat kos tambahan
Bernama
Jun 17, 2024 17:05 MYT
Jun 17, 2024 17:05 MYT
KUALA LUMPUR: Program Sentuhan Maya atau pasukan "duta online" yang diperkenalkan dalam kalangan penjawat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak melibatkan sebarang kos tambahan.
Ringkasan AI
- Program Sentuhan Maya oleh KPKT tidak melibatkan kos tambahan kerana menggunakan sukarelawan dari kalangan penjawat KPKT sendiri, berbanding jika menggunakan key opinion leader (KOL) luar yang boleh menelan kos ratusan ribu ringgit.
- Program ini bertujuan membina kapasiti penjawat awam dalam penggunaan media sosial dan teknologi komunikasi baru untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan KPKT serta menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai inisiatif kerajaan.
- Program ini juga membantu membina imej positif kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang sahih dan menangkis fitnah, selain mempromosikan inisiatif mesra rakyat seperti MyKiosk 2.0 dan Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh).
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata inisiatif dengan tujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan KPKT dengan lebih baik itu sebaliknya boleh menelan kos ratusan ribu ringgit sekiranya menggunakan key opinion leader (KOL) daripada pihak luar.
"Duta-duta online KPKT ini ialah para sukarelawan KPKT yang teruja untuk turut serta daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah KPKT," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata program itu bertujuan membina kapasiti penjawat awam dalam penggunaan media sosial dan teknologi komunikasi baharu khususnya dalam era digitalisasi kini.
Kor Ming berkata ia turut menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai program-program, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPKT dan agensi di bawahnya, selain dapat memberi ruang untuk mereka menyuarakan pendapat secara terbuka dan kreatif mengenai perkhidmatan Kerajaan MADANI.
"Inisiatif-inisiatif KPKT yang mesra rakyat seperti MyKiosk 2.0 dengan sewaan di bawah RM300 sebulan, Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh) Jabatan Perumahan Negara untuk semakan latar belakang pemaju, kandungan pendidikan seperti cara menggunakan alat pemadam api dengan betul, dan sebagainya adalah antara inisiatif dan kandungan yang patut dipromosikan.
"Latihan susulan juga disediakan oleh Unit Korporat dan Komunikasi KPKT untuk membantu penjawat awam menguasai media sosial masing-masing, sekali gus mengisi masa terluang selepas waktu kerja," katanya.
Beliau berkata program dalaman itu turut membantu membina imej positif kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang sahih serta menangkis fitnah yang berleluasa.
Khamis lepas, Kor Ming mengumumkan penubuhan pasukan "duta online" itu yang terdiri daripada 200 kakitangan kementerian berkenaan bagi menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih serta dasar-dasar kerajaan secara efektif.
-- BERNAMA