Pasukan Bertindak Khas GKV tumpu 4 strategi tangani peningkatan kes Lembah Klang

Astro Awani
Julai 13, 2021 19:19 MYT
Chee Kheong berkata strategi itu termasuk bekerjasama dengan pakar kesihatan termasuk daripada luar KKM selain pemain sektor ekonomi. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV) Kementerian Kesihatan (KKM) merangka empat strategi utama dalam menangani penularan COVID-19 di Lembah Klang.
Pengerusinya, Datuk Dr Chong Chee Kheong, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), berkata strategi itu termasuk bekerjasama dengan pakar kesihatan termasuk daripada luar KKM selain pemain sektor ekonomi.
Beliau berkata, dua lagi strategi ialah membabitkan pemerkasaan orang ramai serta meningkat dan mempergiatkan pemberian vaksin kepada rakyat.
Tambah Dr Chong, perkara lain yang diberi perhatian ialah membuat penelitian sama ada tindakan kesihatan awam akan terus dilakukan dengan mengawal peningkatan kes, atau ada keperluan untuk memulakan mitigasi jangkitan.
"Pasukan ini dibentuk beberapa hari yang lepas dan kami telah melawat beberapa kawasan GKV, yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko. Kekuatan pasukan khas ini, kami diberikan mandat untuk membuat keputusan dengan cepat di peringkat bawah.
"Jadi apabila kami melawat kawasan lapangan bersama pengarah (kesihatan) negeri, kami mengenal pasti (masalah) termasuk tenaga kerja, peralatan serta kapasiti. Kami membahagikan bahagian perolehan, mobilisasi sumber seperti oksigen, unit rawatan rapi (ICU) dan kawasan-kawasan terjejas," katanya dalam sidang media Pasukan Bertindak Khas GKV pada Selasa.
Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #KKM #Greater Klang Valley #GKV #pasukan bertindak khas #Chong Chee Kheong #Dr Noor Hisham Abdullah #Klang #unit rawatan rapi #vaksin
;