Pasukan Bertindak Khas GKV aktifkan CAC maya
Bernama
Julai 26, 2021 23:51 MYT
Julai 26, 2021 23:51 MYT
PUTRAJAYA: Pasukan Bertindak Khas 'Greater Klang Valley' (GKV) telah mengaktifkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya bagi menangani pesakit tidak bergejala dan mengalami gejala ringan.
Komander Pasukan Bertindak Khas GKV Datuk Dr Chong Chee Kheong dalam kenyataan hari ini berkata garis panduan pengurusan baharu berkuat kuasa serta-merta dan diharapkan dapat meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan dengan menyelaraskan proses aliran dalam menguruskan pesakit COVID-19.
"Pelaksanaan cadangan baharu dan CAC secara maya akan mengurangkan kesesakan di CAC fizikal, mengurangkan masa menunggu pesakit dan memastikan pemantauan awal dilakukan terhadap kes positif COVID-19.
"CAC secara maya adalah sebahagian daripada sistem eCOVID-19 bertanggungjawab memantau keadaan pesakit bagi memudahkan dan mempercepatkan pesakit yang menunjukkan gejala semakin teruk dirujuk ke CAC atau hospital terdekat," katanya sambil menambah langkah inovatif ini menjimatkan banyak masa dalam mengenal pasti dan melaporkan kes baharu COVID-19.
Dr Chong yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan berkata semua pesakit COVID-19 dalam Greater Klang Valley yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala diminta tidak mengunjungi CAC dan menjalani pengasingan dan pengawasan di rumah, manakala kontak rapat pesakit COVID-19 diminta melakukan pengasingan kendiri tanpa menjalani ujian saringan kecuali menunjukkan gejala.
Pesakit yang disahkan positif COVID-19 dan tidak bergejala atau mengalami gejala ringan diminta untuk segera mengasingkan diri di rumah dan memuat turun aplikasi MySejahtera untuk melaporkan keputusan ujian saringan positif COVID-19 serta menerima Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Dr Chong berkata HSO secara digital juga bertindak sebagai peringatan bahawa mereka masih sah di bawah HSO walaupun mereka tidak memakai gelang merah jambu (pink).
"Pesakit seterusnya perlu melengkapkan Peralatan Penilaian di Rumah (HAT) dalam MySejahtera setiap hari," katanya.
Beliau berkata penilaian kendiri pesakit akan dipantau melalui Modul Pengurusan CAC Maya dalam sistem eCOVID19 dan mereka akan dihubungi oleh Pusat Panggilan CAC sekiranya diperlukan.
"Pesakit yang diminta hadir ke CAC berhampiran untuk penilaian klinikal akan diberikan notifikasi melalui aplikasi MySejahtera atau pusat panggilan," katanya.
Dr Chong berkata pesakit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Panggilan CAC di 03-77239299 dari 8 pagi hingga 9 malam atau Hotline CPRC di 03-77239300 dari 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
"Jika gejala yang dialami semakin teruk, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan dan bukannya menunggu panggilan daripada CAC Maya," katanya.
CAC dibentuk untuk menilai dan mengenal pasti pesakit yang berisiko bagi menjalani pengasingan di rumah, kuarantin COVID-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) atau menerima rawatan di hospital.
-- BERNAMA
#COVID-19
#cac maya
#GKV
#Pasukan Bertindak Khas 'Greater Klang Valley'
#pesakit
#tidak bergejala
#gejala ringan