Pasukan aerobatik Black Eagles TB50 antara yang terbaik di dunia

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 29, 2017 13:18 MYT
Pesawat pejuang jenis KAI-TB50 milik Tentera Udara Republik Korea melakukan lintas terbang di ruang udara sekitar Menara Berkembar Petronas hari ini. fotoBERNAMA
Kehadiran lapan pesawat pejuang jenis KAI-TB50 milik Tentera Udara Republik Korea memecah ruang udara Kuala Lumpur pagi ini apabila buat julung kalinya ia membuat penerbangan lintas pada kira-kira jam 10.45.
Dengan melakukan beberapa pusingan dan formasi yang menarik, persembahan pesawat pasukan aerobatik Black Eagles dari republik itu mampu disaksikan oleh penduduk di sekitar ibu negara.
Pasukan tersebut baharu sahaja menyertai persembahan bersempena dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi 2017 (LIMA'17) yang melabuhkan tirainya Sabtu lepas.
Menurut kenyataan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa, pasukan Black Eagles akan melakukan terbang lintas selama 15 minit di ruang udara ibu negara.
Black Eagles yang pertama kali tampil di LIMA adalah antara pasukan aerobatik yang mencuri tumpuan ketika pertunjukan udara LIMA'17 pada 20 hingga 25 Mac lalu, selain Russian Knights dari Tentera Udara Russia (RAF) dan Jupiter dari Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU).
#Black Eagles #Langkawi #penerbangan #Tentera Udara Republik Korea
;