Pastil ketam dan udang mendapat sambutan
Rozalin Hashim
Mei 17, 2021 08:15 MYT
Mei 17, 2021 08:15 MYT
SANDAKAN: Lazimnya, masyarakat kita sudah begitu mengenali dengan kuih karipap yang dimakan ketika bersarapan atau minum petang.
Namun, lain pula ceritanya di Kampung Bokara yang terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Sandakan ini, apabila karipap yang dibuat sangat unik dan lain daripada yang lain.
Bentuknya sama dengan karipap cuma namanya berbeza sedikit iaitu 'pastil' yang diperbuat daripada ubi kayu dengan berintikan ketam dan udang.
Apa yang menarik tentang pastil ini ia dikatakan sangat luar biasa kerana penggemarnya bukan sahaja dalam kalangan orang kampung, namun daripada daerah lain sehingga ke Kuala Lumpur.
Mungkin kerana keenakan pastil tersebut yang sedap dimakan ketika panas membuatkan kuih ini semakin mendapat tempat dihati sesiapa sahaja.
Bagi, peniaga pastil yang dikenali sebagai Reni Yasin, 43, dari Kampung Bokara, dia kadangkala tidak cukup tangan untuk membuat pastil memandangkan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan sejak dia mula berniaga 15 tahun lalu.
Ibu kepada empat orang anak itu nyata bersyukur selama berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kuih pastil yang telah diwarisi sejak turun-temurun daripada arwah ibunya, setidak-tidaknya dapat membantu menyara keluarga sebagai sumber pendatan.
"Sambutan sangat menggalakkan dan ramai membeli pastil ini dari luar dan dalam Kampung Bokara.
"Pastil ketam dan undang ini sangat unik kerana diperbuat daripada ubi kayu," katanya ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya di Kampung Bokara, Sandakan.
Sementara itu, jiran Reni, Florita Ismail yakin perniagaan pastil ini boleh dikembangkan lagi.
"Saya sebagai jiran selalu juga tengok Reni membuat pastil. Ramai juga yang datang membeli, dari Kuala Lumpur pun ada.
"Jika ada modal, saya pasti perniagaan Reni ini dapat dikembangkan lagi," katanya.