Pastikan projek ECRL, MRT3 tidak timbulkan bencana alam yang lebih teruk - Sultan Sharafuddin

Ridauddin Daud
Mac 14, 2022 13:38 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan berangkat pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan MRT3 Circle Line yang bakal dibangunkan melalui jajaran di dalam Selangor diteliti sebaik mungkin.
Titah Baginda, pelbagai perkara perlu diambil kira terutamanya kesan ke atas impak sosial dan alam sekitar yang perlu dipelihara serta tidak menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang.
“Beta sangat berharap pelaksanaan projek-projek ini tidak menimbulkan kesan atau bencana yang lebih teruk dan mengganggu-gugat kehidupan rakyat Beta.
“Mereka yang terpaksa menanggung akibatnya untuk tempoh yang lama apabila pembangunan projek dilaksanakan secara tidak teratur, cuai tanpa pemantauan dan pengawalan pihak-pihak yang terlibat.
“Oleh itu, suka Beta ingatkan supaya semua pihak yang terlibat sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri perlu memastikan agar kerja-kerja dijalankan dengan teratur serta disempurnakan dengan baik,” katanya.
Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Baginda berharap kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dapat memberikan pendekatan yang lebih kreatif dan berinovasi dalam menangani isu banjir dengan mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad.
“Beta menyeru agar semua projek ini dapat dilaksanakan mengikut kos, jadual dan kualiti yang telah ditetapkan.
“Isu ketirisan melibatkan penjawat awam dan juga pemimpin politik sewajarnya tidak lagi timbul dengan tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui penubuhan Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit (SIAP).
“Unit ini bertanggungjawab untuk memantau prestasi pelaksanaan inisiatif dan projek, serta mengukur dan menilai prestasi dan pencapaian kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” titah Baginda.
#ECRL #MRT3 #projek baharu #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah
;