Pastikan keterangkuman dalam agenda peralihan tenaga - Pengerusi TNB
Firdaus Azil
Ogos 29, 2023 11:23 MYT
Ogos 29, 2023 11:23 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam mengimbangi trilema yang dihadapi mengenai peralihan tenaga iaitu keselamatan, kelestarian, dan kemampuan, negara juga perlu melihat kepada aspek ekuiti dan keterangkuman bagi memastikan tiada yang ketinggalan.
Pengerusi Tenaga Nasional Bhd, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, cabaran yang wujud dari krisis perubahan iklim serta keperluan untuk menjamin keselamatan tenaga secara amnya memerlukan tumpuan dan tindakan kolektif semua pihak.
Atas sebab itu, beliau berkata TNB memahami peranan dan tanggungjawabnya dalam rantaian nilai elektrik dan pihaknya berazam untuk lebih agresif dalam program peralihan tenaga secara bertanggungjawab.
“Kami telah menetapkan rancangan kami sendiri untuk menyokong aspirasi net-zero negara.
"Strategi kami merangkumi tiga bidang tumpuan strategik termasuk perancangan bersepadu mengenai penyahkarbonan penjanaan, membolehkan tenaga boleh diperbaharui yang fleksibel, serta pertukaran grid rentas sempadan, dan memperkasakan elektrifikasi rentas sektor dan penyertaan pengguna.
“Dengan inisiatif ini, TNB akan membawa pihak berkepentingan untuk menyaksikan peningkatan dalam kapasiti tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga yang dipertingkatkan melalui teknologi pintar dan digital, penggunaan solar lebih meluas, teknologi baharu yang boleh diperbaharui sama ada hidrogen, ammonia atau kemudahan penyimpanan, serta kerjasama serantau yang lebih tertumpu dalam pertukaran tenaga hijau," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucap tama di Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran TNB, di ibu negara, pada Isnin.
Persidangan Peralihan Tenaga 2023 selama dua hari itu menyaksikan kehadiran 2,000 peserta dan 68 speaker dari serata dunia, dan disokong oleh 32 rakan strategik.
Dalam satu sesi, Ketua Unit Tenaga Boleh Baharu Dan Teknologi Hijau, TNB, Ir Ts Noraziah Muda berkata ekonomi kitaran merupakan sesuatu perlu diberi perhatian.
“Ramai yang berpandangan untuk menjadikan teknologi bahan buangan lebih menarik, anda perlu mengewangkan (monetize) bahan buangan anda. Jadi bercakap mengenai tenaga terhasil dari bahan buangan dari segi tarif misalnya, adakah ia cukup menarik?
"Bahan buangan menjadi semakin berharga dan semakin ramai orang mahu membeli bahan buangan. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan tetapi kita semua harus bersama-sama dalam menjayakan agenda ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Gabenor Australia Selatan, Frances Adamson melihat persidangan seumpama itu amat penting bagi mendengar dan berkongsi pendapat tentang peralihan tenaga.
Saya merasakan Persidangan Peralihan Tenaga ini merupakan satu inisiatif menarik. Saya terkesima melihat begitu ramai speaker membentangkan kepakaran mereka dalam bidang ini.
“Kita faham bahawa peralihan tenaga merupakan satu perkara yang rumit. Kita mungkin tidak mempunyai semua jawapan dalam kita melalui proses peralihan ini.
"Jadi peluang untuk berbincang dan berkongsi pengalaman, terutamanya dari negeri saya sendiri iaitu Australia Selatan, saya rasa persidangan ini amat berharga,” katanya lagi.