Pastikan kenderaan perdagangan selamat digunakan - Loke

Bernama
Mac 10, 2025 00:02 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyampaikan ucapan selepas mengadakan Ops khas terhadap kenderaan yang melalui kawasan Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenyih. - Foto BERNAMA
SEMENYIH: Syarikat pengendali kenderaan perdagangan berpotensi digantung operasi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekiranya kenderaan milik mereka yang terlibat kemalangan gagal proses audit Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengingatkan pengendali kenderaan perdagangan untuk menitikberatkan aspek keselamatan kenderaan masing-masing supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
"Sekarang ini ia menjadi sebahagian daripada SOP (prosedur operasi standard) iaitu jika berlaku saja kemalangan tidak kira kemalangan biasa atau maut, syarikat lori itu akan diaudit. Tahun lalu saja terdapat ratusan syarikat lori yang gagal audit berkenaan dan telah digantung operasi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Operasi Khas JPJ dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Penguatkuasa JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli.
Dalam operasi itu, JPJ menyita sebuah kenderaan dan mengeluarkan 124 saman pelbagai kesalahan selepas melakukan pemeriksaan ke atas 218 kenderaan.
Sementara itu, Loke berkata penggunaan kamera badan untuk anggota JPJ masih dalam peringkat perolehan.
"Kita tertakluk pada proses perolehan dan kita harap dapat buat perolehan ini bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kita akan bincang dengan pihak Kementerian Dalam Negeri bagaimana untuk buat perolehan secara bersama," katanya.
Selain itu, katanya larangan penggunaan soket tiga pin dan USB di dalam bas ekspres masih berkuat kuasa kerana garis panduan penggunaan aksesori itu sedang dirangka pihaknya.
Menurut Loke, pihaknya juga bekerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) untuk membangunkan garis panduan berkenaan.
Larangan penggunaan aksesori itu adalah berikutan kematian seorang remaja yang terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya dalam bas ekspres di Butterworth, Pulau Pinang, November tahun lepas.
-- BERNAMA
#kenderaan perdagangan #Agensi Pengangkutan Awam Darat #JPJ #Anthony Loke
;