Pastikan insiden kanak-kanak maut terjatuh di kuarters tidak berulang - Liew Chin Tong

Firdaus Alauddin
November 20, 2018 17:07 MYT
CHIN TONG: Kami juga akan meneliti langkah yang harus dilakukan bagi mengelakkan kes sebegini berlaku lagi. - Gambar fail
Langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan inisden kanak-kanak maut akibat terjatuh dari tingkat tiga di kediaman kuarters di Setapak, tidak berulang lagi, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.
"Kementerian Pertahanan sendiri akan menyiasat insiden yang berlaku ini dan akan mencari apakah punca sebenar di sebalik insiden tersebut.
"Kami juga akan meneliti langkah yang harus dilakukan bagi mengelakkan kes sebegini berlaku lagi,” kata beliau, yang akan melawat lokasi kejadian itu di Setapak esok (Rabu).
Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak pengurusan pangsapuri atau flat perlu mengenal pasti sama ada terdapat elemen-elemen bahaya yang boleh mengakibatkan insiden kemalangan, tidak kira di dalam dalam atau luar kawasan kem.
“Kerja-kerja penyelenggaraan boleh ditambah sekiranya terdapat kekurangan dari aspek elemen keselamatan.
Dalam pada itu, Lam Thye turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu dan berharap agar masyarakat tidak leka tentang keselamatan di rumah, tempat awam dan sebagainya.
Insiden menyayat hati yang berlaku pada petang Isnin (19 November) itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam tentang isu keselamatan di kediaman bertingkat seumpamanya, terutama yang melibatkan kanak-kanak.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang juga anak kepada seorang anggota tentera ditemui oleh orang ramai dalam keadaan yang tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di bahagian kepalanya.
Mangsa digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia sekitar 3.13 petang di wad kecemasan hospital tersebut.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Nakhoda Batu Caves.
#jatuh #kemalangan #Kemeneterian Pertahanan #Lee Lam Thye #Liew Chin Tong #maut #tentera
;