Pastikan ECRL jadi pemangkin perubahan Pantai Timur - PM Anwar

Muhafandi Muhamad
Mei 12, 2023 18:24 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) menyempurnakan gimik pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tunjong hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Kerajaan belum membuat keputusan lagi berhubung kadar tambang yang akan ditetapkan bagi perkhidmatan Keretapi Laluan Pantai Timur (ECRL).
Namun begitu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan berharap agar projek ECRL mampu menjadi projek pemangkin dan pencetus perubahan pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur.
“ECRL ini akan menjadi pemangkin, pencetus perubahan di negeri yang dianggap terpisah dari perkembangam Pusat, pertumbuhan di.Lembah Klang.
“Oleh itu saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri harus juga bersama bukan sahaja memanfaatkan kemudahan ini tetapi mencari jalan dan kaedah baru bagaimana boleh mencetus perubahan melalui pelaburan baharu mengunakan peluang pengangkutan bahan pengeluaran industri,” katanya.
Kata lagi, selain melihat masalah berkaitan, tindakan segera lebih agresif untuk menarik pelaburan perlu dilaksanakan termasuk mengurangkan kerenah birokrasi, memberi insentif lebih menarik dan mengambil kira tempoh masa dalam sesuatu kelulusan.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Stesen Pertama ECRL di Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, projek ECRL ini kata Anwar tidak dimonopoli sepenuhnya oleh syarikat dari China, sebaliknya lebih 2,000 syarikat tempatan turut diberi peluang sebagai kontraktor yang terlibat dalam projek terbabit.
Sementara itu Anwar turut berkata akan memaklumkan kepada rakyat Kelantan satu berita baik pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani malam ini.
Katanya apa yang bakal diumumkan nanti adalah lebih baik dari apa yang diumumkan beliau sewantu pembentangan Belanjawan Madani sebelum ini.
#ECRL #tambang #Anwar Ibrahim #Kelantan
;