Pastikan dua juta pekerja asing tidak jadi tantangan laksanakan gaji progresif - Penganalisis
Irfan Faruqi
Disember 6, 2023 22:52 MYT
Disember 6, 2023 22:52 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan keberadaan dua juta pekerja asing dalam negara tidak menjadi tantangan kepada pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, sekiranya dasar itu dilaksanakan dengan struktur pasaran buruh semasa, manfaat subsidi dan latihan produktiviti akan turut dinikmati pekerja bukan warganegara.
“Sebab itu satu perkara yang saya persoalkan dan ambil perhatian ialah struktur pasaran buruh di Singapura yang berjaya melaksanakan (Dasar Gaji Progresif) ini jauh berbeza dengan Malaysia. Kita ada hampir 2 juta pekerja asing mengikut data rasmi dan ada yang melaporkan angka tersebut pada tahap lima hingga enam juta pekerja asing. Bagaimana untuk kita pastikan perkara ini tidak menjadi faktor tantangan kepada majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Menurut Noor Azlan, faktor tantangan lain yang perlu diberi perhatian ialah soal kesediaan majikan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memenuhi keperluan kadar gaji yang ditetap dalam Dasar Gaji Progresif ini.
Jelasnya, keupayaan PMKS untuk memenuhi ketetapan gaji minimum sudah pun dianggap membebankan.
“Dalam Kertas Putih (Cadangan Dasar Gaji Progresif) itu memang banyak ditekankan mengenai Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) ini. Kita harus faham sebahagian besar PMKS di Malaysia ialah industri perusahaan mikro.
"Pekerja mereka lima orang atau kurang. Hari ini, perusahaan mikro tidak tertakluk kepada Dasar Gaji Minimum. Pada mereka ini satu loncatan (kadar gaji) yang besar.
"Belum lagi dapat memenuhi keperluan gaji minimum, tetapi sekarang perlu tingkatkan gaji kepada satu garisan gaji yang akan ditentukan oleh kerajaan,” jelasnya.