Pastikan dasar baharu digubal agar ekonomi lebih mampan - Azmin

Bernama
Jun 16, 2019 05:16 MYT
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap optimis dan berikrar untuk terus berkhidmat dengan memastikan kementeriannya dapat menggubal beberapa dasar baharu bagi memastikan penjanaan ekonomi negara yang lebih mampan - GambarBERNAMA
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap optimis dan berikrar untuk terus berkhidmat dengan memastikan kementeriannya dapat menggubal beberapa dasar baharu bagi memastikan penjanaan ekonomi negara yang lebih mampan.
"Fokus saya sekarang adalah untuk terus memastikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat menggubal dasar-dasar baharu dan sekarang ini kita sudah memulakan perbincangan tentang Rancangan Malaysia ke-12 sejak sebulan yang lalu," katanya.
Beliau berkata kerajaan mahu pendekatan baharu diambil bagi memastikan penjanaan ekonomi yang lebih mampan serta dapat mengembalikan semula keyakinan pelabur asing kepada Malaysia.
"Saya nampak perkembangan positif dan kita berikan tumpuan kepada hasil-hasil baharu negara dan teknologi baharu seperti Artificial Intelligent, digital dan sebagainya kerana itulah yang dapat menjana pertumbuhan dan sumber baharu bagi negara," katanya.
Biarpun sedang berdepan ujian paling getir dalam karier politiknya ekoran dikaitkan dengan kontroversi video lucah, Azmin yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya di sini hari ini, mahu memberi tumpuan dalam mengembalikan semula keyakinan pelabur asing kepada pasaran Malaysia.
"Saya kena banyak bersabar dan akan terus bertabah. Saya yakin ini adalah politik kotor orang yang 'desperate', yang tewas dan tidak lagi mendapat sokongan rakyat, yang cuba menggunakan taktik kotor seperti ini tetapi bagi saya sebagai pemimpin, kita harus tegas dengan perkara ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azmin berkata kementeriannya akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan antara negeri yang termaju di Malaysia dan penyumbang terpenting kepada ekonomi negara.
Beliau berkata perbincangan itu akan menyentuh tentang pengagihan pertumbuhan hasil ekonomi serta memastikan keperluan seluruh rakyat Pulau Pinang dapat dijamin dan diberikan perhatian.
"Kita mahu pembangunan di negeri ini dapat diteruskan bukan sahaja di bahagian pulau tetapi juga di Seberang Perai. Kita mahu semua warga Pulau Pinang mendapat hak pembangunan yang adil dan saksama," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Mohamed Azmin Ali #ekonomi #gubal #Menteri Hal Ehwal Ekonomi
;