Pastikan aplikasi dalam telefon dikemas kini, elak digodam - MCMC
Bernama
Mei 7, 2019 17:41 MYT
Mei 7, 2019 17:41 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya memastikan aplikasi dalam telefon sentiasa dikemas kini bagi mengelak maklumat peribadi digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi.
Menurut kenyataan itu, modus operandi penipuan dalam talian dengan melakukan penyamaran sebagai individu yang berpengaruh dan cuba mempengaruhi mangsa untuk memuat turun dan memasang aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber ke dalam sistem telefon mangsa.
"Seterusnya, mangsa akan diminta untuk berkongsi kod pengesahan yang dihantar kepada peranti telefon milik mangsa.
"Perkongsian kod pengesahan tersebut akan membuka ruang kepada suspek untuk mengambil alih akaun berkenaan, serta mendapati akses kepada kandungan-kandungan yang terhubung-kait dengan akaun tersebut seperti senarai hubungan," kata kenyataan itu.
Katanya, ini membolehkan suspek menggunakan akaun yang dikompromi untuk membuat penyamaran dan memperdaya penerima dalam senarai tersebut dengan menghantar pesanan palsu.
Pesanan palsu itu boleh memberi impak negatif kepada pemilik nombor termasuk melibatkan identiti mereka dalam kegiatan jenayah.
SKMM turut menasihati orang ramai supaya membuat pengesahan terlebih dahulu dan mengelak daripada berkongsi kod pengesahan yang diterima supaya aplikasi tidak dapat diambil alih oleh pihak ketiga sekiranya menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan daripada pihak mengakui sebagai individu berpengaruh.
"Sekiranya menjadi mangsa, laporkan dengan segera kepada pihak polis untuk penelitian dan tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
#akaun
#aplikasi telefon
#MCMC
#penggodam
#penipuan dalam talian
#sindiket penipuan
#SKMM
#telefon pintar