Pastikan anak-anak dihantar ke taska berdaftar di bawah JKM - KPWKM

Bernama
September 8, 2024 20:42 MYT
Orang ramai boleh memperoleh senarai taska berdaftar melalui semakan di laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ibu bapa serta penjaga disaran agar sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak mereka dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelakkan berlakunya kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan taska berdaftar antara lain akan dipantau dan diperiksa secara berkala oleh JKM, selain dibuat pemeriksaan mengejut oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa sekurang-kurangnya dua kali setahun.
"Selain itu, satu Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan Lak dan Perintah Penutupan ke atas Taska serta Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis juga telah dikeluarkan berkuat kuasa pada 10 April 2023.
"Garis panduan ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes melibatkan taska dan pusat jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
KPWKM memaklumkan pendaftaran taska turut diletakkan prasyarat untuk setiap pengasuhnya mempunyai Sijil Kursus Asuhan Permata (KAP) dan pelbagai tindakan proaktif telah dilaksanakan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada kejadian tidak diingini di taska.
Ini termasuk operasi pemutihan taska yang telah dilaksanakan mulai September tahun lepas, dengan JKM telah mengenal pasti 1,080 taska di seluruh negara yang tidak berdaftar dan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan supaya pihak yang terlibat segera membuat pendaftaran.
Sejak 2020 pula, KPWKM melalui JKM telah mengeluarkan 76 arahan bertulis, perintah penutupan sementara (4), pembatalan perakuan pendaftaran (218), tindakan Lak (7), kompaun (17) dan pendakwaan (2).
Menurut kementerian itu orang ramai boleh memperoleh senarai taska berdaftar melalui semakan di laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my.
"Orang ramai juga diseru membuat aduan kepada Talian Kasih di 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran sekiranya mendapati terdapat taska yang tidak berdaftar," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#taska berdaftar #Jabatan Kebajikan Masyarakat #kes kecuaian #KPWKM #keselamatan
;