'Pastikan amanah, jujur, telus' - Pesan Zahid kepada kakitangan Felcra
Ridauddin Daud
Januari 19, 2023 19:00 MYT
Januari 19, 2023 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan warga kerja Felcra Berhad (Felcra) supaya sentiasa amanah, jujur dan telus ketika menjalankan tanggungjawab.
Menurutnya, meskipun akan ada pihak yang mungkin cuba memburukkan mereka dengan pelbagai cerita namun Ahmad Zahid menegaskan, selagi berpegang dengan agama, pasti Tuhan akan membantu.
Bahkan, tegasnya cubaan memburuk-burukkan Felcra adalah perancangan jijik individu atau sekumpulan orang yang mahu meruntuhkan sesebuah organisasi.
“Biarpun kita disimbahkan dengan keaiban, negativiti terhadap diri kita atau kumpulan kita, itu adalah perancangan jijik daripada seseorang atau kumpulan yang mahu runtuhkan institusi, organisasi mengikut teori domino.
“Tapi jelas bahawa perancangan itu tidak menjadi kerana apabila kita menjaga agama Allah, Allah pasti akan menjaga kita. Untuk itu, kita harus kembali kepada perkara penting.
“Kena ada perimbangan niat ukhrawi dan duniawi, perimbangan antara dunia dan akhirat. Kita tidak akan salah kalau kita lakukan perimbangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Taklimat Felcra Berhad di Wisma Felcra pada Khamis yang turut dihadiri Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menasihatkan Felcra supaya tidak lagi bergantung kepada kerajaan selepas ini dan cuba mencari dana sendiri dengan lebih efektif.
Jelasnya, ada beberapa pendekatan korporat boleh dilakukan syarikat itu dan berdasarkan situasi semasa, beliau optimis Felcra mampu terus bergerak ke hadapan.
“Ada banyak lagi pendekatan korporat yang boleh kita lakukan tapi pada masa sama, kita juga harus belajar dengan pengalaman sebuah GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) yang disenaraikan, akhirnya berdepan permasalahan yang cukup besar.
“Belajar dari kesilapan dilakukan badan itu. Felcra harus lebih telus, terus beri keuntungan kepada peserta, harus bantu peserta Koperasi Felcra supaya ketirisan tidak berlaku di luar,” ujarnya.