Pastikan aktiviti kebun sayur di Lojing tidak ganggu saluran air tandak - ADUN Galas

Bernama
Februari 20, 2023 14:45 MYT
Mohd Syahbuddin berkata pihaknya sudah beberapa kali menerima aduan penduduk setempat berkenaan bekalan air terputus ekoran runtuhan tanah di kawasan tanaman sayur. - Gambar fail
GUA MUSANG: Lebih 200 pengusaha kebun di Tanah Tinggi Lojing diingatkan supaya berhati-hati ketika menguruskan tanaman mereka supaya proses penyaluran air tandak dari bukit ke penempatan Orang Asli berhampiran kawasan kebun tidak terganggu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya sudah beberapa kali menerima aduan penduduk setempat berkenaan bekalan air terputus ekoran runtuhan tanah di kawasan tanaman sayur.
"Saya harapkan pihak yang terlibat khususnya pekebun sayur supaya lebih prihatin terutama memastikan paip-paip yang menyalurkan air ke kawasan rumah penduduk Orang Asli terjaga.
"Sekiranya paip-paip ini melintasi kawasan kebun sayur mereka, maka pastikanlah kawasan paip terjaga dengan baik supaya bekalan air dapat terus disalurkan kepada penduduk di sekitar tanah tinggi itu," katanya ketika ditemui di Pos Brooke di sini hari ini.
Mohd Syahbuddin berkata struktur kawasan yang berbukit dan bercerun terutama di sekitar tanaman yang diusahakan pekebun berisiko menyebabkan kejadian runtuhan tanah.
"Kita tidak mahu kawasan penduduk kampung ini terputus bekalan air kerana kawasan ini sumber airnya daripada air tandak.
"Selain kerja penyelenggaraan tandak, kita juga berharap paip-paip yang dipasang ini dijaga sebaik mungkin oleh semua pihak," katanya.
Sementara itu, penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Kuala Rengil, Rajis Angah, 48, berkata perkampungannya kerap berdepan masalah gangguan bekalan air akibat paip pecah.
"Apabila berlaku gangguan air, kami terpaksa menggunakan air sungai sebagai alternatif," katanya.
-- BERNAMA
#ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim #pengusaha kebun Tanah Tinggi Lojing #penempatan Orang Asli #Orang Asli suku Kaum Temiar
;