Pasrah tidak dapat temani ibu saat nafas terakhir
Sinar Harian
Mac 16, 2022 05:45 MYT
Mac 16, 2022 05:45 MYT
KEMAMAN: Anak kepada pesakit COVID-19 warga emas yang terlibat kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan termasuk dua ambulans di Chalok Kedai, Setiu pada Jumaat lalu pasrah kerana tidak dapat menemani ibunya pada saat akhir sebelum kematian.
Murniyati Harun, 47, berkata, ibunya, Fatimah Jusoh, 74, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Selasa.
Katanya, ibunya tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif ketika dirawat selepas terlibat dalam nahas yang menyebabkan dia patah paha kanan dan dua belah rahang.
"Ibu meninggal dunia selepas lima hari dirawat di hospital berkenaan. Disebabkan ibu mengalami COVID-19, kami sekeluarga tidak dapat melawatnya ketika dirawat di hospital.
"Kami hanya menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa ibu tidak menunjukkan sebarang tindak balas sejak insiden malah perlu bergantung dengan alat bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ujarnya, sebelum dibawa ke hospital, arwah ibunya tidak menunjukkan sebarang petanda serta masih boleh bercakap seperti biasa.
Katanya, sebelum ini, walaupun ibu sudah tidak mampu berjalan selepas terjatuh namun masih boleh bercakap dan sedar seperti biasa.
"Arwah ibu mengalami muntah-muntah sebelum disahkan dijangkiti COVID-19 tahap empat pada pagi Jumaat lalu di Hospital Kemaman.
"Arwah ibu kemudian dipindahkan ke Hospital Setiu selepas solat Jumaat sebelum terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke hospital tersebut," katanya.
Murniayati berkata, arwah ibunya sebelum ini tinggal bersamanya di Kampung Bukit Kuang, di sini, selepas bapanya, Harun Md Zin diserang angin ahmar.
Katanya, kehilangan ibunya amat dirasai kerana bapa mereka, Harun Md Zin baru sahaja meninggal dunia pada 3 Mac lalu.
"Walaupun ujian ini agak berat untuk kami terima, kami pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi. Kami terima ketentuan ini dengan hati terbuka," katanya.
Murniyati berkata, jenazah ibunya disemadikan di sebelah pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuang, di sini, jam 7 petang pada Selasa.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.