Pasport vaksin COVID-19: WHO perlu tangani diskriminasi pengiktirafan vaksin - Pakar
Harits Asyraf Hasnan
Jun 21, 2021 20:24 MYT
Jun 21, 2021 20:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu menjadi badan utama dalam mengeluarkan garis panduan pelaksanaan pasport vaksin COVID-19.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berpandangan wujud persaingan kuasa besar dalam membuat polisi berkait pengiktirafan vaksin.
Beliau mengambil contoh beberapa negara Barat yang bertindak untuk tidak mengiktiraf vaksin buatan China, sekali gus menyekat individu yang mengambil vaksin itu memasuki negara mereka.
"Jadi, ini yang dikatakan tidak sekata. Misalnya, apabila penduduk di Malaysia atau Asia secara umumnya, banyak kelompok populasi ini menerima vaksin daripada China.
"Bagaimana kita nak mengembara ke Eropah atau Amerika kalau mereka tidak mengiktiraf vaksin tersebut.
"Soal pengiktirafan vaksin ini juga ada kaitan dengan isu politik dan perniagaan antara negara-negara tersebut.
"Misalnya, negara Eropah dan Amerika mungkin cuba memasarkan vaksin mereka sebanyak yang mungkin dan mereka bersaing dengan negara China," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
April lalu, WHO dengan tegas menentang pengenalan pasport vaksin buat masa ini dengan alasan ia mungkin akan memburukkan lagi masalah akses vaksin yang tidak adil dalam kalangan banyak negara.
Walaupun mereka memahami pentingnya pemulihan ekonomi pelancongan antarabangsa negara, namun bekalan vaksin global ketika ini amat terhad untuk membolehkan pengenalan pasport vaksin.
Dr Syed Mohamed Aljunid pada masa sama mempersoal tindakan yang dilakukan beberapa negara yang hanya membenarkan penerima vaksin COVID-19 tertentu sahaja.
"Secara khusus, kita tidak dapat melihat adakah ini merupakan satu persetujuan yang dicapai di peringkat antarabangsa.
"WHO sendiri tidak bersetuju dengan pasport vaksin ini dan tidak ada garis panduan daripada WHO apakah penanda aras yang sesuai boleh kita gunakan sebagai panduan.
"Kini kita masih lagi berada dalam peringkat tunggu dan lihat serta menanti untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci lagi," ujarnya.
Beliau percaya, sekiranya pasport vaksin dilaksanakan, ia wajar dilakukan secara digital lantaran ia akan memudahkan setiap pengembara mendapatkan kelulusan akses di sesebuah negara.
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO
#COVID-19
#vaksin
#pasport vaksin
#iktiraf vaksin
#Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid
#ekonomi
#pelancongan
#diskriminasi vaksin