Pasport vaksin bukan diskriminasi - Pensyarah ekonomi

Astro Awani
Februari 16, 2021 10:10 MYT
Kata Dr Irwan, rakyat perlu memberi keyakinan kepada vaksin dan jangkaan positif ekonomi pada masa hadapan. - Foto Facebook/uumpress
KUALA LUMPUR: Pasport vaksin bukan diskriminasi dan keperluannya perlu dilihat menjangkaui pelbagai hala serta negara.
Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin menjelaskan, rakyat juga akan dianggap ketinggalan serta diasingkan oleh warga dunia jika melihat isu itu bukan sesuatu yang asas.
"Kalau kita lihat di seluruh dunia, tidak kiralah di negara maju atau negara sedang membangun, negara jiran kita, semuanya begitu optimistik terhadap vaksin ini
"Jadi kalau kita masih ada golongan seperti ini yang merasa diskriminisasi, jadi ini akan memberikan kesan secara keseluruhan kepada pembangunan ekonomi dan industri kita di masa hadapan dan ini akan memberikan kesan juga kepada rakyat secara keseluruhan," katanya semasa sidang video pada Selasa.
BACA: Pasport Kesihatan Immunitee Malaysia bakal jadi yang pertama diterima di Singapura
BACA: Vaksin COVID-19 tiba di Malaysia 21 Februari - PM
Sebelum ini, Immunitee Health Passport dari Malaysia bekerjasama dengan Affinidi yang diasaskan oleh syarikat Temasek untuk menyediakan pasport kesihatan pertama, diterima di Singapura, menerusi platform digital Unifier Affinidi.
Immunitee Health Passport adalah satu sistem yang direka untuk menyimpan rekod imunisasi peribadi dan data vaksin, yang membantu memudahkan proses pemeriksaan pengguna di pusat pemeriksaan kesihatan sempadan, memastikan perlindungan data dan keselamatan menerusi blockchain, dan mengesahkan ketulenan ujian dan vaksin COVID-19.
Dalam pada itu kata Dr Irwan, rakyat perlu memberi keyakinan kepada vaksin dan jangkaan positif ekonomi pada masa hadapan.
"Dalam soal ini isu sentimen penting, apa yang kita harapkan, ia beri keyakinan dan sentimen.
"Apabila ada jangkaan ekonomi memulih, ia beri sentimen rakyat akan mula berbelanja dan peniaga akan mula kembangkan perniagaan
"Kita tidak nafikan ambil masa, skala sangat besar, kita tahu memang ada berlaku beberapa masalah," katanya.
Katanya lagi, ramai kini sedang mengambil langkah tunggu dan lihat dalam isu vaksinasi.
Ujarnya, paling penting proses memberi keyakinan kepada rakyat kepentingan dan tahap keselamatan vaksin yang akan membangunkan serta merancakkan semula ekonomi negara.
#COVID-19 #vaksin #kesihatan #ekonomi #Singapura #peniaga
;