Pasport Malaysia palsu dapat permintaan tinggi - Biro Imigresen Thailand
Bernama
Julai 12, 2016 23:28 MYT
Julai 12, 2016 23:28 MYT
Keistimewaan yang dinikmati pemegang pasport Malaysia menjadikan pasport negara itu antara dokumen perjalanan yang mendapat permintaan paling tinggi daripada 'pelanggan' sindiket pasport palsu, kata Biro
Imigresen Thailand.
Pesuruhjaya biro itu Lt Jen Pol Nathathorn Prousoonthorn berkata keistimewaan dan faedah yang diberi kepada pemegang pasport Malaysia, khususnya pengecualian daripada mendapatkan visa, menjadikannya amat menarik dalam kalangan pengguna pasport palsu.
"Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia (pemegang pasport Malaysia) tidak perlu memohon visa untuk melakukan perjalanan ke beberapa negara termasuk Thailand kerana mereka dikecualikan daripada visa.
"Inilah yang menyebabkan pasport Malaysia menjadi sasaran sindiket pasport palsu (yang beroperasi di Thailand), terutamanya untuk pelanggan mereka dari negara tertentu," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.
Berikutan 'daya tarikan' yang dimiliki pasport Malaysia, katanya, tidak hairanlah ia mendapat 'sambutan hangat' terutamanya daripada rakyat negara Asia Selatan seperti Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka, selain China.
Persamaan rupa paras
Nathathorn berkata persamaan dari segi rupa paras dan fizikal yang dikongsi rakyat Malaysia dengan rakyat negara-negara Asia Selatan dan China menambahkan lagi populariti pasport Malaysia dalam kalangan pengguna pasport palsu dari negara berkenaan.
"Mereka dengan mudah boleh disangka sangka sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Dalam dua kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiangmai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok baru-baru ini, seorang lelaki Sri Lanka dan seorang lelaki China ditangkap kerana memiliki pasport palsu Malaysia.
Ini merupakan trend yang membimbangkan terutamanya ketika negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan ancaman kumpulan pengganas Daesh yang semakin berleluasa.
Kejadian pertama berlaku pada 14 Mei di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiangmai apabila lelaki Sri Lanka berusia 22 tahun itu ditangkap para pegawai Imigresen Thailand kerana memiliki pasport Malaysia palsu sebelum dia sempat menaiki pesawat menuju ke Hong Kong dan kemudian ke Zurich.
Siasatan lanjut mendapati 'pasport' yang digunakan lelaki itu pada asalnya adalah milik seorang wanita Malaysia, yang disenaraikan sebagai hilang.
Kejadian kedua berlaku di pintu masuk utama Thailand, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada 25 Mei apabila para pegawai Imigresen Thailand menahan seorang lelaki China yang membawa pasport Malaysia palsu ketika mereka melakukan pemeriksaan rutin.
Siasatan seterusnya mendapati lelaki itu memasuki Thailand melalui kawasan sempadan di Mae Sai, utara Thailand, tiga tahun lepas dan lelaki berkenaan mengaku dia membayar AS$6,000 untuk membeli pasport itu melalui Internet.
Lelaki itu ditangkap sebelum sempat menaiki pesawat menuju ke Tokyo.
Menurut Biro Imigresen Thailand, dua kejadian berkenaan melibatkan pasport Malaysia yang disenaraikan sebagai hilang dengan ia diguna semula dan dimasukkan butiran pengenalan baharu bagi menggantikan butiran diri pemilik asalnya.
Tanpa visa
Sementara itu, satu sumber keselamatan memberitahu Bernama bahawa tahun lepas, pihak berkuasa Thailand menangkap lebih 60 orang daripada pelbagai negara kerana menggunakan pasport Malaysia palsu untuk melakukan perjalanan ke beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata pemegang pasport Malaysia tidak diwajibkan mendapatkan visa sebelum memasuki negara anggota EU, dan sama seperti yang berlaku di lapangan terbang Chiangmai dan Suvarnabhumi, mereka juga membawa pasport Malaysia yang disenaraikan sebagai hilang, tetapi diguna semula dengan butiran identiti baharu.
Sumber itu, yang enggan didedahkan identitinya, berkata 'pelanggan' sanggup membayar harga tinggi bagi mendapatkan pasport Malaysia palsu.
"Lazimnya, mereka membayar lebih RM20,000 untuk membeli pasport Malaysia palsu tetapi (harganya) juga bergantung kepada sindiket yang menjualnya," katanya.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada langkah menyekat penggunaan pasport Malaysia palsu, para pegawai Imigresen Thailand melakukan pemeriksan lebih ketat terhadap pemegang pasport Malaysia termasuk menguji pengetahuan mereka tentang Bahasa Malaysia asas dan maklumat am tentang Malaysia.
Pada Februari tahun ini, pihak berkuasa Thailand melumpuhkan satu sindiket utama yang terlibat dengan kegiatan pemalsuan pasport berikutan penangkapan seorang rakyat Iran, Hamid Reza Jafari, 48, atau lebih popular dengan panggilan 'The Doctor', dan merampas lebih 173 pasport palsu pelbagai negara.
Menurut Biro imigresen Thailand, sindiket yang diketuai 'The Doctor' membekalkan pasport pelbagai negara kepada pelanggannya yang ingin ke Australia dan negara-negara Eropah.