Pasport hilang? Denda hingga RM1,200 untuk ganti baharu

Khairunnisa Kasnoon
Januari 5, 2019 19:56 MYT
Individu yang kehilangan dokumen terbabit buat pertama kali akan dikenakan denda sebanyak RM400. -Gambar fail
Berkuat kuasa Rabu lalu, individu yang kehilangan pasport akan dikenakan denda RM300 hingga RM1,200 bagi menggantikan dokumen perjalanan tersebut.
Denda itu turut membabitkan kerosakan pada dokumen seperti yang terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 bertarikh 20 Disember tahun lalu.
Perintah itu disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara, dikeluarkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
Perintah berkenaan turut menyebut individu yang kehilangan dokumen terbabit buat pertama kali akan dikenakan denda sebanyak RM400 kecuali kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara.
Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara pula denda sebanyak RM300 akan dikenakan.
Sementara itu, bagi penggantian pasport kali kedua, denda RM700 akan dikenakan.
Manakala bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara, denda RM600 akan dikenakan.
Denda meningkat empat kali ganda sekiranya pemilik kehilangan pasport buat kali ketiga, menjadikan ia sebanyak RM1,200.
Sebelum ini, pemilik yang kehilangan dokumen berkenaan tidak dikenakan sebarang penalti.
#hilang #kerajaan #pasport #Peguam Negara #pelajar #Visa
;