Pasir Gudang menangis lagi?
Ts Mohd Soffian Osman
Julai 4, 2019 10:03 MYT
Julai 4, 2019 10:03 MYT
PENDUDUK Pasir Gudang sekali lagi digemparkan dengan insiden pencemaran udara apabila beberapa orang pelajar dan guru dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang, dilaporkan mengalami simptom loya, muntah-muntah dan sesak nafas bermula 20 Jun yang lalu.
Kejadian yang berlarutan akhirnya memaksa kesemua 475 institusi pendidikan di Pasir Gudang membabitkan sebanyak 111 sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta diarah tutup serta merta mulai 25 Jun sehingga 27 Jun.
Tiada sebarang kes baru dilaporkan sepanjang tempoh penutupan tersebut.
Ironinya, tidak sampai 2 jam sesi persekolahan dibuka semula pada Ahad lalu (30 Jun), gelombang kedua dilapor berlaku di beberapa buah sekolah.
Situasi ini menimbulkan keresahan penduduk sekitar Pasir Gudang terutamanya mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah berikutan kebanyakan mangsa yang terlibat adalah golongan tersebut.
Apatah lagi kejadian serupa pernah melanda mereka pada bulan Mac lalu, yang turut melibatkan hampir 6000 orang mangsa dari pelbagai lapisan umur.
Melihat kepada kedua-dua insiden tersebut, ianya bukanlah satu insiden yang berkaitan. Sekalipun kedua-duanya melibatkan pencemaran udara akibat daripada bahan kimia yang berbahaya, namun situasi dan cabaran menanganinya adalah berbeza sama sekali.
Insiden Sungai Kim Kim pada Mac lalu berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa toksik ke dalam sungai tersebut.
Punca pencemaran dapat dikenalpasti dalam tempoh dua hari dan tindakan segera membersihkan sisa toksik dapat dilakukan serta-merta dalam menangani insiden tersebut.
Akhirnya dalam tempoh seminggu operasi pembersihan, Sungai Kim Kim yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik disahkan selamat.
Hal ini berbeza dengan isu pencemaran udara yang sedang melanda sekarang ini.
Setelah 13 hari berlalu dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh semua pihak yang terlibat, punca yang menyebabkan berlakunya insiden kali ini masih gagal dikenalpasti dan seterusnya menyukarkan usaha untuk menanganinya.
Pun begitu telah banyak usaha yang dilakukan dalam menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku termasuklah melakukan bacaan kualiti udara di kawasan sekolah berisiko setiap pagi secara serentak oleh agensi yang terlibat.
Dalam situasi ini, ramai yang tertanya-tanya, apakah nasib yang bakal mereka tempuhi dalam insiden kali ini?
Oleh itu, saya kongsikan semula serba sedikit tip yang boleh diambil untuk berhadapan situasi semasa khususnya buat mereka yang berada dalam kawasan terjejas :
1- Sentiasa peka dengan perubahan keadaan sekitar khususnya bau yang kurang menyenangkan terutamanya pada waktu cuaca panas dan berangin.
2- Sentiasa memantau keadaan kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga yang lain dengan mengambil berat terhadap simptom-simptom seperti pedih mata, loya, muntah, pening, sakit dada dan sesak nafas, anda mungkin telah terdedah kepada pemcemaran bahan kimia berkenaan. Jadi segera dapatkan rawatan perubatan di klinik kesihatan atau hospital yang berhampiran.
3- Kurangkan aktiviti di luar rumah. Mandi dengan kerap jika terpaksa berada di luar rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa kimia terkena anggota badan.
4- Jika anak-anak anda menghidap asma atau sebarang penyakit berkaitan pernafasan, atau pernah menjadi mangsa dalam insiden pencemaran yang lepas atau sekarang, pastikan mereka dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti ‘face mask’ R95 dan memakainya dengan betul ketika berada di sekolah atau di luar rumah.
Namun, jika khuatir kesihatan mereka terjejas dalam situasi semasa, bolehlah mengambil keputusan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga. Ini kerana kebanyakan mangsa yang terjejas dalam insiden ini adalah dari kalangan kumpulan ini.
5- JANGAN sebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih terutamanya dari sumber yang diragui tentang situasi semasa. Ini tidak membantu pihak yang terjejas sebaliknya hanya menambahkan situasi cemas & panik kepada mereka. Pastikan segala informasi yang hendak dikongsikan hanya dari sumber yang sahih seperti kenyataan media Jawatankuasa Bencana Kerajaan Negeri Johor, kementerian & agensi yang terlibat.
***Semoga Allah permudahkan urusan sahabat & seluruh komuniti di Pasir Gudang dalam menangani ujian ini.
*Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#kerajaan
#kesihatan
#Kolumnis AWANI
#mangsa
#Mohd Soffian Osman
#Pasir Gudang
#pelajar
#pencemaran gas
#pendidikan
#sekolah
#terhidu gas