Pascabanjir: UPSI beri bantuan asas psikologi kepada mangsa
Abd Razak Mohd Ali
Disember 27, 2021 12:10 MYT
Disember 27, 2021 12:10 MYT
TANJUNG MALIM: Memahami kesan emosi yang dialami mangsa banjir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menggerakkan pasukan bantuan asas psikologi (PFA) bagi membantu mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Hulu Langat, Selangor pada Ahad.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata, pihaknya mempunyai pasukan sukarelawan (ResQ Team) yang memberi tertumpu kepada dua keperluan mangsa banjir.
Menurutnya, keperluan itu ialah PFA yang menekankan aspek emosi dan psikologi mangsa bagi mencegah simptom-simptom trauma, stres, dan distres yang dialami oleh mangsa bencana.
“Pasukan ini juga memberi fokus terhadap misi menyelamat mangsa, mengumpul sumbangan dan kerja-kerja pembersihan bagi membantu mangsa bencana,” katanya di sini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Norkhalid Salimin berkata, inisiatif menggerakan pasukan PFA adalah tepat memandangkan pada minggu pertama, mangsa-mangsa sibuk dengan pengurusan dan pembersihan rumah masing-masing serta memastikan keperluan asas diri dipenuhi.
“Maka, bantuan asas psikologi yang disuntikkan pada masa ini dapat memberi harapan dan membantu mangsa yang terlibat dalam pengurusan emosi, stres atau simptom-simptom trauma yang mula mengganggu kefungsian hidupnya,” ujarnya
Menurutnya, pasukan PFA yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kaunseling, Dr Pau Kee, mengetuai sembilan sukarelawan terlatih, turun ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Batu 14, Hulu Langat untuk memberi bantuan dan melaksanakan aktiviti psikososial bersama kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa.
Beliau berkata, kehadiran pasukan itu bukan sahaja membantu mangsa bencana mengenal pasti keperluan diri, bahkan juga fokus kepada perasaan, pemikiran dan pengalaman yang dialami yang mungkin mengganggu diri mereka.
“Keperluan mendengar dengan empati dan memberi intervensi segera dapat membantu mereka mempelajari cara mengatasi dengan berkesan bagi mengelak kesan psikologi yang berpanjangan,” katanya.
Dr Pau Kee pula berkata, trauma adalah respons mangsa terhadap situasi yang berbahaya, mengancam keselamatan diri dan terlampau stres sehingga membawa kepada gangguan emosi.
Menurutnya, terdapat simptom-simptom awal termasuk rasa tidak selamat, takut yang terlampau, rasa buntu, keliru, sedih, bimbang, tidak dapat tidur, mimpi buruk, kesukaran mengingat sesuatu dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, reaksi itu berbeza-beza pada setiap orang bergantung kepada tahap daya tahan mangsa tersebut.
Katanya, sekiranya gejala tekanan trauma takut berlarutan lebih daripada satu bulan, maka mangsa berkemungkinan besar akan mengalami tekanan pascatrauma (Post-Traumatic Stress Disorder - PTSD).
Beliau memberitahu, usaha itu akan dipergiatkan lagi untuk kawasan-kawasan yang terkesan seperti di Kuala Selangor, Taman Sri Muda, Shah Alam dan Mentakab, Pahang.