Pascabanjir: Sukarelawan skuad AADK diperluas ke seluruh negara, bantu mangsa banjir
Astro Awani
Januari 6, 2022 15:12 MYT
Januari 6, 2022 15:12 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK memperluaskan misi bantuan pascabanjir ke seluruh negara, khususnya negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.
Agensi tersebut berkata inisiatif itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu dan meringankan beban dihadapi mangsa banjir.
Setakat hari ini, sebanyak 475 sukarelawan digerakkan di seluruh negara bagi melancarkan misi bantuan pasca banjir melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak serta Kelantan.
“Pada peringkat awal misi kemanusiaan bantuan pasca banjir oleh Skuad Antidadah AADK dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terutamanya di kawasan Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.
“Namun begitu, berikutan bencana banjir telah melanda di beberapa buah negeri dan atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Skuad Antidadah AADK segera diperluas dan digerakkan bagi kerja-kerja sukarelawan pasca banjir,” demikian menurut AADK dalam satu kenyataan, pada Khamis.
AADK berkata, selain proaktif menambah jumlah keanggotaan sukarelawan, kekuatan Skuad Antidadah juga terus diperkuatkan khususnya melibatkan aspek kesiapsiagaan, skop tugasan yang sistematik dan penyediaan keperluan mengikut situasi semasa di lokasi yang terkesan dengan banjir.
“Bagi Skuad Antidadah Seberang Prai Tengah Pulau Pinang, meskipun tidak dilanda banjir namun, khidmat masyarakat tetap diteruskan. Skuad Antidadah daerah berkenaan digerakkan ke negeri-negeri terjejas banjir seperti Bentong, Pahang dan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
“Dalam pada itu, Skuad Antidadah AADK Kedah juga mengambil inisiatif turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang yang turut disertai Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, AADK amat mengalu-alukan orang ramai menyertai Skuad Antidadah bagi memperkasakan peranan masyarakat untuk saling membantu menyampaikan kempen antidadah, selain menyumbang bakti dalam aktiviti kemasyarakatan.