Pascabanjir: Sesi persekolahan dua sekolah rendah di Taman Seri Muda ditunda

Umavathi Ramayah
Januari 10, 2022 16:08 MYT
Siti Halijah Sarani (kiri) dan M Magendran. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Dua buah sekolah rendah di Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini yang terkesan akibat bencana banjir dua minggu lalu, masih belum dapat memulakan sesi persekolahan hari ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati bilik darjah tingkat bawah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda dan SK Taman Sri Muda II kosong sepenuhnya tanpa perabot, kerusi dan meja yang terpaksa dibuang akibat rosak ditenggalami air.
Bukan sahaja dinding sekolah terlekat dengan kesan banjir malah pokok-pokok bunga yang menghiasi bangunan itu satu ketika dahulu rosak teruk.
Pascabanjir menjadikan bangunan sekolah kini tidak lagi seperti tempat menuntut ilmu sebaliknya seperti padang pasir yang kosong.
Guru Besar SK Taman Sri Muda, Siti Halijah Sarani memberitahu, meskipun sudah hampir 98 peratus proses pembersihan selesai namun pada ketika ini bekalan air masih belum dapat digunakan sepenuhnya memandangkan pam air di Blok C pecah disebabkan banjir, yang mengakibatkan saluran air tidak dapat berfungsi.
"Jika masalah ini tidak diselesaikan dalam masa terdekat dan sesi persekolahan bermula, kita jangkakan minggu depan, lebih 940 pelajar mungkin terpaksa bertumpu di dua tandas di Blok A sahaja," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Justeru itu, Halijah memohon jasa baik Kementerian Pendidikan dan juga sukarelawan untuk tampil menghulurkan bantuan.
"Sekolah ini bukan dalam kategori elit dan kebanyakan pelajar adalah daripada keluarga B40, maka sumbangan yang diterima kami agak terhad," ujarnya lagi.
Bangunan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda digenangi air setinggi paras satu tingkat dalam bencana yang mengorbankan 14 nyawa penduduk sekitar.
Pembukaan Sekolah | Perkembangan di Sri Muda, Shah Alam
Sementara itu dua lagi sekolah di kawasan itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Emerald bagaimanapun dilihat sudah memulakan sesi persekolahan seperti yang dijadualkan.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda Datuk M Magendran ketika dihubungi memaklumkan, kedatangan pelajar hari pertama sesi persekolahan hari ini menyaksikan kira-kira 56 peratus.
Meskipun mengakui sebahagian besar daripada pelajar masih lagi terkesan akibat banjir, namun katanya, mengambil kira pelajar-pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kelas dimulakan di tingkat satu bangunan dan ke atas.
"Saya juga telah meminta guru-guru kelas untuk mengumpul data mengenai status terkini pelajar-pelajar yang tidak dapat hadir untuk tindakan lanjut termasuk bantuan," katanya.
Banjir yang ‘menenggelamkan’ Seksyen 25 menyebabkan SMK Taman Sri Muda mengalami kerosakan kelengkapan pengajaran dan pembelajaran dianggarkan men­cecah RM2.5 juta.
Antara aset sekolah yang rosak adalah seperti komputer, komputer riba, almari, meja dan kerusi.
#sekolah tutup #Taman Seri Muda #Kementerian Pendidikan #Banjir 2021
;