Pascabanjir: Semua orang nak kami utamakan keluarga mereka dahulu - Pengarah Bomba Selangor
Firdaus Azil
Disember 31, 2021 23:58 MYT
Disember 31, 2021 23:58 MYT
SHAH ALAM: Bukan mudah untuk menggerakkan aset dan anggota untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat banjir, termasuk di Taman Sri Muda baru-baru ini, akui Pengarah Bomba dan Penyelamatan Selangor, Norazam Khamis.
Dalam situasi yang amat mencabar, dengan kedalaman air sehingga enam kaki (1.8 meter), ditambah pula keadaan yang cukup gelap, beliau berkata, bomba terpaksa melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat dalam keadaan yang berhati-hati.
Tambahan pula, imbasnya kembali, desakan daripada penduduk setempat, yang mahu ahli keluarga mereka diselamatkan dahulu, sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pasukan tersebut.
“Tekanan daripada keluarga juga merupakan satu cabaran. Apabila mangsa ramai, mereka ingin kami selamatkan keluarga mereka terlebih dahulu. Minta kami untuk ambil keluarga mereka terlebih dahulu.
“Sedangkan bila kita bergerak ke kawasan yang dinaiki air, kita akan jumpa mangsa dalam air, ada mangsa yang terpaksa berdiri atas kereta, berpaut pada signboard, pada pagar, malah atas pokok pun ada,” katanya kepada Astro AWANI.
#KitaReset | Bangkit semula bina kehidupan
Atas sebab itu, Norazam berkata, setiap kali bot penyelamat memasuki kawasan tersebut, mana-mana mangsa yang mereka jumpa pasti akan diselamatkan terlebih dahulu.
Untuk rekod, korban akibat banjir di Selangor mencecah 25 orang, dengan Taman Sri Muda, Shah Alam mencatatkan jumlah kematian paling tinggi, iaitu seramai 11 mangsa.
Dalam pada itu, Norazam berkata, cabaran seterusnya ialah masalah komunikasi, yang mana ketika kejadian antara 18 hingga 21 Disember itu, liputan telefon dan internet terjejas teruk.
“Cabaran seterusnya ialah komunikasi, yang pada waktu itu memang talian komunikasi, untuk berhubung dan sebagainya agak terhad.
“Dan sehingga hari ketiga, keempat, gangguan talian telefon masih berlaku. Walaupun kita menggunakan alat komunikasi sendiri, kita menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan aduan, dan maklumat sesama sendiri,” katanya lagi.
Mengulas mengenai sikap segelintir masyarakat yang mencaci serta memperlekehkan tugas pasukan keselamatan, khususnya bomba, Norazam menyifatkannya sebagai lumrah dalam melakukan tugasan.
“Selain segelintir pihak yang hanya tahu mencaci tanpa mengetahui keadaan sebenar, ada juga kes di mana penduduk setempat datang memarahi kami, kononnya tidak mahu mengutamakan keluarga mereka, lambat bertindak dan sebagainya.
“Namun itu lumrah. Mereka mungkin tidak tahu operasi dan menyelamat ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu masalah lain pula yang timbul,” katanya lagi.
Norazam berkata,sekiranya anggotanya sewaktu menghadapi provokasi seperti itu, terutama sekali di lapangan, kebiasaannya mereka akan mengambil langkah berdiam diri dan lebih berdiplomasi
“Kalau ada situasi yang keras, kita tak boleh keras balik. Contohnya macam kes di Taman Sri Muda, memang kita faham, dan kami tak salahkan mereka, kerana mereka sedang dalam tekanan, memikirkan nasib keluarga mereka yang masih terperangkap.
“Jadi kami kendalikan situasi itu dengan cara berdiplomasi, dan keadaan ini telah dilatih dari peringkat awal menceburi bidang ini. Memang kena bersedia untuk menghadapi keadaan seperti ini,” katanya lagi.