Pascabanjir: Selepas air surut, kini debu pula jadi ancaman penduduk

Fareez Azman
Disember 28, 2021 12:01 MYT
Meskipun bersyukur cuaca kini panas, namun harapan disandarkan agar pihak berwajib dapat menyembur air agar debu dapat dikurangkan di kawasan itu. - Foto Astro AWANI
BENTONG: Selepas air banjir menyurut timbul pula masalah lain apabila debu tebal dikatakan mengakibatkan kesihatan penduduk di kawasan terbabit terjejas.
Itu antara luahan penduduk di Kampung Chegar Medang di sini iaitu antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir besar yang berlaku baru-baru ini.
Rata-rata penduduk mahukan agar pihak berwajib dapat membantu dengan menyembur air mengurangkan debu yang tebal di kawasan jalan raya.
Bagi Siti Nurhuda Iskandar, 40, kini saban hari rutin hariannya adalah membasuh peralatan yang masih lagi boleh digunakan.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Namun kesan debu terutama kepada pakaian yang dibasuh, menyukarkan lagi tugasnya.
"Debu memang tebal saya basuh kain lekat debu dan kena basuh kali kedua, anak-anak saya dah mula batuk, mak saya mula batuk.
"Saya pun baru baik demam, ini mula batuk. Tak pernah berlaku di taman ini, terpaksa bayar lori untuk angkat barangan yang musnah, sebab nak tunggu Majlis Perbandaran tak datang dah berapa hari sebab dah mula bau busuk," jelasnya ketika ditemui pada Selasa.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, hampir keseluruhan jalan raya di kawasan daerah ini diliputi debu sekali gus mengancam keselamatan penduduk setempat.
Sementara itu, bagi Zulkifli Mat, 59, keadaan udara yang tidak selamat itu menyukarkan lagi kerja-kerja membersihkan rumah.
“Jiran-jiran tolong bersihkan kawasan sekitar atas inisiatif untuk membantu, saya nak cakap pun serba salah banjir kali ini menyeluruh jadi tak payah mengharapkan orang lain, kita buat sendiri.
"Dah kemas lebih enam hingga tujuh hari, bukan penat lagi dah lebih daripada itu," jelasnya.
Meskipun bersyukur cuaca kini panas, namun harapan disandarkan agar pihak berwajib dapat menyembur air agar debu dapat dikurangkan di kawasan itu.
"Kalau daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dapat menyemburkan lumpur buat penduduk di sini.
"Supaya separuh debu hilang jadi penduduk akan berterima kasih. Berdebu susah nak bernafas, tebal sebab tak hujan, kalau hujan mungkin kurangkan debu itu," katanya lagi.
#Banjir 2021 #ancaman debu #Bentong #mangsa banjir