Pascabanjir: 'Rumah, 49 ekor kambing, 100 ekor ayam hanyut dibadai banjir' - Mangsa
Fareez Azman
Disember 30, 2021 20:06 MYT
Disember 30, 2021 20:06 MYT
BENTONG: Rumahnya musnah dibadai banjir dengan puing kayu, binatang ternakannya pula hanyut dibawa arus deras.
Itu dugaan besar buat penduduk Kampung Sri Telemong, Palanivelo Punusamy, 62, apabila kejadian banjir pada Sabtu lalu memberi kesan mendalam buat dirinya.
Menceritakan kejadian tersebut, Palanivelo berkata, beliau, isteri dan dua anaknya hanya mampu berlari ke kawasan tinggi pada malam Sabtu itu.
Ketika itu, arus yang deras dari Sungai Telemong mulai membadai kawasan rumahnya.
"Jam 6.30 petang sudah mula hujan, kita ingat macam banjir biasa tetapi sekejap sahaja air dah naik ke paras lutut.
"Bila air datang dari belakang rumah kita nampak ombak dia datang, kami lari.. semua barang ditinggalkan, anak tarik saya untuk lari," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Ombak dan puing kayu badai rumah
Ketika itu, beliau nekad untuk meninggalkan segalanya demi menyelamatkan nyawa.
"Masa itu ada balak hentam kaki saya, saya belum pergi hospital.
"Di kandang kambing, air sudah sampai tahap leher, anak saya dihanyutkan air... nasib baik dia pegang pagar, masa itu saya nampak ombak membadai kandang kambing saya," jelasnya lagi.
Daripada 50 ekor kambing ternakannya, hanya seekor sahaja selamat. Selain itu, lebih 100 ekor ayam ternakannya juga dihanyutkan bah.
Ketika ditemu bual, kadang kala beliau dilihat termenung seketika mengenangkan nasib yang menimpanya.
Meskipun pasrah dengan dugaan yang besar, Palanivelo hanya mampu berserah kepada tuhan untuk membina hidup baru.
"Takda.. apa pun tak ada, saya duduk di dewan tapi mereka cakap tak boleh duduk lama.
"Semalam ada orang cakap.. 'bila rumah semua sudah cuci, uncle apa macam?' Dia tanya saya, saya tak tahu nak ke mana.
"Kalau tak ada tempat, saya tarik lah kanvas duduk kat sini (tapak rumah)," jelasnya sambil menitiskan air mata.
Tidur di kanvas jika tiada bantuan
Harapan beliau, jika ada bantuan daripada pihak kerajaan untuk membina sebuah rumah yang selesa buat keluarganya.
"Kalau ada kerajaan mahu tolong bina rumah kecil pun saya bersyukur.
"Nanti kalau ada duit saya bikin sikit-sikit. Saya juga yang bina rumah ini seorang, pagi kerja malam balik, pasang sikit-sikit selama dua bulan sampai siap," kata Palanivelo lagi.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati kawasan kampung itu antara terjejas teruk kerana bersebelahan dengan Sungai Telemong.