Pascabanjir: Perancangan jangka panjang perlu untuk sektor maritim
Astro Awani
Disember 28, 2021 23:21 MYT
Disember 28, 2021 23:21 MYT
KUALA LUMPUR: Bencana banjir memberi peluang untuk semua pihak memikirkan pembangunan kawasan pelabuhan atau bandar di pesisir pantai, kata Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia, Datuk Sabirin Ja'afar
Sabirin menjelaskan, perancangan jangka panjang perlu dibuat bukan hanya dalam menguruskan banjir malah melibatkan sistem pelabuhan di negara ini.
Beliau berpendapat, untuk menguruskan pelabuhan, kerajaan dan pihak berwajib boleh mempelajari perancangan yang dibuat oleh negara lain seperti Belanda yang mampu menguruskan banjir dan pelabuhan yang sangat terkenal.
"Belanda memang negara di bawah paras laut. Kita belajar dari sekolah lagi tentang Belanda ini dalam usaha mereka memantau keadaan air. Kalau kita lihat Port Rotterdam mereka merupakan antara yang paling maju di dunia.
"Jadi di MIMA ini kami buat kajian tentang hal berkaitan maritim dan pelabuhan, jadi terpulang dan kepada kerajaan untuk mengambil kajian atau cadangan kami.
"Mungkin mereka ada cadangan tersendiri yang di luar kuasa kami. Cuma bagi pihak kami, kita nampak perkara ini satu perkara besar. Apabila berlaku banjir, kita perlu fikir jauh ke depan.
"(Tentang) Cara dan bagaimana itu kita serah kepada pihak berkuasa untuk memikirkannya. Contoh sudah berlaku depan mata, kita perlu fikir cara berbeza sekarang," katanya.
Perancangan jangka panjang diperlukan untuk pembangunan pelabuhan
Beliau juga menjelaskan, kerajaan perlu melibatkan banyak pihak dalam usaha pemulihan sektor maritim selepas banjir yang melanda baru-baru ini.
Ini kerana, Sabirin berkata pemulihan sektor maritim melibatkan banyak aktiviti ekonomi yang penting seperti nelayan dan pelancongan.
"Memang ada kesan bila berlaku bencana ini. Kalau kita lihat, bila berlaku bencana seperti yang baru-baru ini, kesannya secara keseluruhan sekali.
"Untuk sektor maritim seperti perikanan ia dalam (hal ehwal) keselamatan makan. Negara kita banyak bergantung kepada protein hasil laut macam ikan dan sebagainya, jadi ada kesannya.
"Dalam sektor pelancongan juga ada kesannya dan ia juga ada kena mengena dengan maritim kerana banyak sektor pelancongan kita melibatkan pantai, orang suka (berkunjung) ke tepi pantai
"Jadi apa yang kita lihat, banjir yang berlaku memang beri kesan kepada sektor maritim," katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan, perancangan jangka panjang yang perlu difikirkan bersama adalah usaha memastikan pengangkutan kontena dari pelabuhan ke tempat-tempat lain berjalan lancar.
Sabirin berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membincangkan Strategi Pemulihan Sektor Maritim Pascabanjir.