Pascabanjir: Penduduk Kampung Paya Garuk rayu dipindah segera
Azizah Shafiei
Januari 14, 2022 18:35 MYT
Januari 14, 2022 18:35 MYT
JERANTUT: Kira-kira 100 keluarga di Kampung Paya Garuk di sini terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat rumah dan barangan mereka yang ditenggelami bah sepanjang musim tengkujuh.
Meskipun sudah menerima geran bagi penempatan baharu sejak 14 tahun yang lalu, namun mereka masih tidak boleh membina rumah baharu gara-gara laluan ke lokasi itu belum siap.
Difahamkan, lokasi tapak penempatan baharu yang disediakan hanya sekitar satu kilometer sahaja dari kampung terbabit yang telah dikenalpasti selamat dan bebas dari bencana banjir kerana permukaannya yang lebih tinggi dari kawasan yang kerap dinaiki air.
Seorang penduduk, Mohamad Melan, 67, berkata, selagi jalan masuk ke tapak penempatan baharu itu belum siap sepenuhnya, mereka tidak boleh masuk ke tapak itu bagi kerja-kerja pembinaan rumah.
“Kami sudah diberikan geran pada tahun 2008 lagi bagi membina rumah baharu di tempat yang bebas banjir memandangkan penempatan sekarang kerap dilanda banjir.
"Tapi sampai sekarang, jangan kata rumah... jalan untuk ke tapak penempatan baharu pun baru siap sekerat jalan. Jadi, macamana kami nak bina rumah baharu?," katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Khamis ini.
Menurutnya, perkara ini telah tertangguh terlalu lama, dan menyebabkan penduduk di sini sudah tidak sanggup berdepan dengan bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun.
Katanya, penduduk telah menetap di sini sejak dari tahun 1998 dan hanya pada tahun 2008 mereka diberikan geran tanah penempatan baharu sebagai jalan penyelesaian.
Mohamad memberitahu, sekiranya jalan ke penempatan baharu itu siap sepenuhnya, semestinya penduduk boleh mempercepatkan kerja-kerja pembinaan rumah masing-masing kerana tidak sanggup terus menanggung kerugian.
Sementara itu, Jasmizan Mohamad, 29, berkata, perkara ini telah beberapa kali diadukan kepada pihak berwajib tetapi belum ada jalan penyelesaian.
"Saya betul-betul sudah tidak sanggup berdepan dengan bencana banjir ni. Kawasan ini, kalau musim tengkujuh memang akan naik air.
"Setiap tahun kena baikpulih peralatan yang rosak, ada yang kena beli baharu. Kami bukannya banyak duit. Cuma saya harap, isu ini dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.
Jasmizan berkata, walaupun ada antara mereka yang mempunyai rumah rakit untuk meletakkan barangan semasa bencana banjir namun mereka masih terpaksa memperuntukan wang yang banyak untuk membaiki rumah mereka.
Penduduk berharap pihak berwajib dapat mempercepatkan pembinaan jalan yang tergendala ini agar dapat memberi sinar kepada mereka untuk memiliki kehidupan yang lebih selesa.