Pascabanjir: Pembersihan dan mencuci premis giat dilakukan

Muhafandi Muhamad
Mac 9, 2022 05:45 MYT
Keadaan di Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda selepas banjir surut. - Astro AWANI
TUMPAT: Situasi banjir di Kelantan sudah pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup petang semalam.
Mangsa banjir yang terakhir seramai 147 orang yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang pulang petang semalam.
Kerja-kerja mencuci bangunan, kediaman dan membuang sampah sarap sudah bermula sejak awal minggu ini.
Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda, Kajang Sebidang, Tumpat antara sekolah yang tenggelam sewaktu banjir yang bermula 25 Febuari lepas.
Menurut pengetuanya, Ariffin Misk, sekolahnya tenggelam sewaktu banjir lalu dengan kesemua peralatan sekolah rosak.
"Sekolah ini semasa banjir kemuncak air naik pada paras 5 hingga 6 kaki.
"Kerosakan harta benda termasuk kerusi, meja, perabut lain, alatan, jentera, bernilai lebih kurang RM40,000. Sesi sekolah akan bermula 4 April, dan sekolah ini mempunyai 330 pelajar dan 33 guru," katanya.
49 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah ini menduduki peperiksaan di Pusat Peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan bantuan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, anggota bomba, sukarelawan dan kakitangan serta pelajar.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki berkata, banjir sudah beransur pulih.
Setakat ini, polis Kelantan menerima lebih 1,200 laporan polis membabitkan laporan kerosakan, kemusnahan tanaman, kediaman dan sebagainya.
"Laporan kerosakan ada lebih 1,278 setakat hari ini melibatkan pelbagai kerosaksan tanaman dan libatkan banjir.
"Laporan ini akan kita salurkan kepada pihak pengurusan bencana negeri," katanya.
Jelasnya, tumpuan kini ke arah pascabanjir membabitkan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kerosakan.
#banjir #sekolah #mencuci #PPS
;