Pascabanjir: "Memang terduduk rasanya kali ini" - Peniaga

Ridauddin Daud
Disember 31, 2021 22:23 MYT
Norman yang merupakan seorang OKU, berkata andainya ada bantuan modal, sedikit sebanyak ia dapat memberi kekuatan untuk memulakan langkah pertama. - Foto Astro AWANI
HULU LANGAT: Bayangkan…
Ambil masa seketika... bayangkan kelengkapan rumah anda musnah akibat banjir.
Bukan itu sahaja, bayangkan perniagaan anda - mata pencarian utama anda - turut sama terjejas akibat banjir, rosak semuanya.
Kerugian mencecah puluhan ribu ringgit, boleh cecah ratusan ribu juga. Berat sungguh dugaan namun itulah realiti dihadapi peniaga di Taman Sri Nanding.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Kini, harapan disandarkan pada kaki mereka, berharap ia kuat untuk menampung beban mendatang, melangkah setapak demi setapak untuk kelangsungan hidup.
Zaini Mohd Noor, 54, tidak pernah menyangka dirinya diuji sebegini malah ketika beberapa hari pascabanjir, dia tidak mampu untuk melihat kedai runcitnya yang diusahakan sejak 15 tahun lepas.
"Lemah lutut, rasa nak tumbang tengok keadaan kedai," katanya kepada Astro AWANI.
Kerugiannya dianggarkan RM150,000 dan selepas ini, dia mengharapkan agar pihak berkaitan membantunya terutama dari segi suntikan modal.
"Seminggu sebelum banjir baru sahaja masuk banyak barang. Bila banjir begini, memang barang tak boleh pakai, banyak yang rosak.
"Memang kita harap sangat bantuan, kita nak bina semula perniagaan ini," ujarnya.
Norman Salleh, 52 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) turut mengharapkan bantuan sama.
Kerugiannya mencecah puluhan ribu ringgit dan andainya ada bantuan modal, sedikit sebanyak ia memberi kekuatan untuk mereka memulakan langkah pertama.
Bapa kepada empat anak yang berniaga pelbagai barangan termasuk aksesori telefon dan kunci itu kini buntu memikirkan masa depannya dan keluarga.
"Memang saya sangat perlukan pusingan modal, nak baiki kereta yang tenggelam banjir lagi.
"Memang sekarang tak boleh bergerak. Kalau ada kereta, boleh jugalah nak berniaga lain, buat kecil-kecilan dulu.
"Isteri saya, tukang jahit baju pun sama terkesan. Habis mesin rosak, tak banyak dapat selamatkan pun," katanya.
Pasangan suami isteri, Muhibbuddin Hanafiah, 50, dan Salbiah Lukman, 44, pula berkata, sekiranya bantuan sampai untuk mereka mulakan semula perniagaan pun, mereka sudah cukup bersyukur.
"Sekarang ini memang kita fikir nak mulakan balik saja, dapat sikit bantuan untuk buka semula pun kami dah cukup bersyukur.
"Kalau ikut barang rosak, memang banyak rosak tapi sekarang ini kami memang mahu berniaga semula secepat mungkin, bina semula perniagaan," katanya.
Muhibbuddin bekerja sebagai tukang gunting rambut manakala isterinya berniaga nasi lemak di hadapan kedai gunting itu yang sudah diusahakan sejak 2004.
Kini semuanya memasang satu impian, membina semula perniagaan dan berdoa keadaan pulih seperti sedia kala.
Bagi yang ingin memberikan sumbangan, boleh menyalurkannya di nombor-nombor akaun berikut:
Zaini Mohd Noor (Nurdiyana Bt Mohd Yusof) - 7619617230 (CIMB)
Norman Salleh - 156169167590 (Maybank)
Muhibbuddin Hanafiah (Noranisah Bt Amerudin) - 164098624967 (Maybank)
#banjir #pascabanjir #peniaga #Taman Sri Nanding #Zaini Mohd Noor #Norman Salleh #Muhibbuddin Hanafiah #Salbiah Lukman
;